fbpx

Luahan pembaca: Ramai akan gulung tikar jika haramkan vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terdapat perbezaan ketara antara energy stick dengan produk vape. -Gambar hiasan.

SAUDARA PENGARANG,

Saya sudah puas susah sejak pandemik Covid-19 menyerang negara ini. Bermula dengan diberhentikan kerja sebagai penolong jurutera di sebuah syarikat pembinaan sehinggalah saya berkecimpung untuk berniaga vape bermodalkan duit pampasan dan sedikit simpanan.

Di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bersyukur kerana mampu memberi makan kepada keluarga dengan pendapatan berniaga dan ditambah pula dengan bantuan kerajaan serta bakul makanan. Hidup secara sederhana ketika PKP.

Namun, ketika ini, rakyat berdepan pula dengan kenaikan harga barang. Saya faham ia mengenai inflasi ekoran peperangan di Eropah antara Rusia dan Ukraine tetapi kelihatan kerajaan gagal membantu. Slogan jihad ekonomi sekadar retorik.

Perniagaan saya turut terjejas apabila pelanggan yang kebanyakan daripada golongan marhaen mengikat perut dan mengurangkan perbelanjaan. Selang beberapa hari, baru ada pelanggan dan margin jualan terus merudum.

Saya terpaksa pinjam duit daripada saudara dan rakan untuk hidup setiap bulan. Namun, kebelakangan ini saya kecewa apabila kerajaan mahu mengharamkan penjualan rokok dan vape kepada mereka yang lahir dari tahun 2007.

Pendapatan akan terus terjejas dan saya mungkin gulung tikar. Kompaun jika berniaga vape juga tinggi dan tidak masuk akal.

Jika mahu melawan gejala vape, haramkan juga rokok kerana pembuatnya bermodal besar dan pasti tidak terkesan.

Saya rayu jangan haramkan vape kerana ia mata pencarian ramai usahawan bumiputera. Saya tiada kabel besar dan hanya pengusaha vape kecil-kecilan untuk menyara keluarga. Saya rayu kerajaan tolonglah dengar rintihan saya ini.

Jika mahu mencontohi New Zealand, mereka hanya haramkan rokok buat generasi 2009 ke atas dan bukannya vape.

Rokok memang sudah terbukti berbahaya tetapi vape lebih selamat. Buatlah kempen kesedaran seperti mana yang dilakukan terhadap rokok dan bukannya secara drastik.

Biar rakyat bebas memilih. Apa gunanya melaungkan slogan Keluarga Malaysia jika anak di rumah dibiarkan susah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI