fbpx
Kenaikan harga secara mendadak akan membebankan pengguna yang mempunyai pendapatan kecil. - Gambar hiasan

Berani boikot barang naik harga mendadak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Kenaikan harga barang ketika ini menyebabkan perbelanjaan penduduk Malaysia makin bertambah.

Bagi golongan yang hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, sudah pasti ia makin membebankan.

Meskipun pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan, namun masih ramai tidak berjaya mengharungi keadaan yang serba mencabar ini. Ramai beranggapan kenaikan demi kenaikan dalam tempoh singkat menyebabkan mereka tidak bersedia dari segi kewangan dan mental.

Apabila rakyat penat, mereka akan memberontak menuntut hak sebagai pengguna termasuk Perhimpunan Turun Harga Barang baru-baru ini.

Keadaan itu jelas memperlihatkan rakyat daripada pelbagai golongan terkesan dengan impak kenaikan harga barangan. Lebih buruk lagi, ada yang terjerumus dalam melakukan jenayah untuk meneruskan kehidupan.

Bagi meredakan situasi rumit ini, Pakar Ekonomi, Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, rakyat perlu berjimat cermat dan pada masa sama perlu ‘mendesak’ kerajaan menggunakan saluran yang betul.

“Kenaikan harga barangan merupakan isu global. Sesiapa pun yang menerajui kerajaan akan menghadapi masalah sama.

“Oleh itu, perlu ada badan bertindak merangkumi pelbagai pihak termasuk rakyat bagi menyalurkan maklumat berkaitan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas beliau, situasi harga barang boleh berlaku untuk jangka masa panjang sekiranya tiada sebarang tindakan segera diambil.

“Setakat ini pasukan jihad ekonomi keahliannya dari pihak kerajaan, sepatutnya perlu ada jawatankuasa bertindak yang melibatkan masyarakat dan bersifat lokal,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar membuat pilihan yang bijak berbanding jenama-jenama tertentu untuk membeli sesuatu barangan.

“Kepada yang mampu boleh memilih jenama tersebut, namun bagi majoriti masyarakat kita seharusnya mengutamakan keperluan berbanding jenama (kehendak).

“Selain itu, antara tindakan lain yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini adalah dengan mengurangkan perbelanjaan.

“Misalnya, jika dahulu kita berbelanja besar, jadi ia perlu dikurangkan 50 atau 60 peratus.

“Jadi wang selebihnya boleh disimpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang dan seterusnya dapat me­ngurangkan permintaan terhadap sesuatu barangan sekali gus harga barang dapat distabilkan,” jelasnya.

Tambah beliau, sebagai pengguna bijak, orang ramai mempunyai hak untuk membeli atau tidak, malah kita juga disarankan memboikot barang yang harga­nya naik secara mendadak.

“Desakan kepada kerajaan dilihat perlu mereka tidak terlalu selesa dengan situasi tegang seperti kenaikan harga barang ini. Selain itu, ia juga bertujuan untuk pihak kerajaan melihat perkara ini sebagai satu masalah serius yang ditentang sepenuh­nya oleh rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, Noorizzuddin menyarankan rakyat memberi fokus kepada perbelanjaan ke­perluan semasa dan mendesak seperti makanan, bayaran sewaan, pengangkutan dan komunikasi supaya dapat mengawal jumlah pendapatan yang ada.

“Corak perbelanjaan pada masa kini ialah mengelakkan perbelanjaan aset besar seperi rumah, tanah dan kereta baharu,” pesannya.

POPULAR