Menjelang bulan Muharam, umat Islam memperkatakan tentang bulan ini sebagai bulan Hijrah, yang mana Nabi s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah. Apa hikmah Nabi s.a.w memilih Muharam sebagai bulan hijrah baginda?
JAWAPAN:
Sering terjadi, kita mengikut apa orang lain sebut tanpa menyemak ketepatannya. Hal ini, bukan sahaja berlaku dalam masyarakat awam, tetapi juga dalam kalangan golongan terpelajar. Untuk menjawab, saya ingin sentuh beberapa perkara:
Pertama, bulan Muharam adalah bulan pertama dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun Hijrah. Maksudnya, 12 bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan memilih Muharam sebagai bulan pertama bagi kalender tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun Masihi. Maka, telah berlaku salah faham sesetengah pihak, lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah pada bulan Muharam. Itu sebenarnya anggapan tidak tepat.
Keduanya, dahulu orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama-nama seperti yang umat Islam guna hari ini. Nama bulan-bulan Hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun Masihi.
Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar itu. Namun, ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar al-Khattab.
Beliau kemudian bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama dalam kalendar umat Islam.
Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya, kemudian memilih Muharam. Ini kerana bulan itu umat Islam baru selesai ibadah haji. Bukan kerana bulan itu Nabi s.a.w berhijrah.
Sejarawan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah: Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan Arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?” Ada mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada mencadangkan Muharam kerana ia bulan orang baru selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharam bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).
Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku pada Rabiulawal, bukan Muharam.
Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri menyimpulkan, Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur.
Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiulawal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiulawal, Nabi s.a.w sampai ke Quba.
Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiulawal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).
Berdasarkan maklumat yang dinyatakan, jelas Muharam bukan bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah.















