fbpx
KEADAAN kereta Proton Exora yang terlibat nahas di Kilometer 234.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kuala Kangsar hari ini. /FOTO IHSAN BOMBA PERAK

Pemandu maut tercampak keluar MPV, penumpang cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR – Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya di Kilometer 234.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.40 petang itu, pemandu MPV jenis Proton Exora, Mohd. Ridzuan Mat Yusoff, 56, maut di tempat kejadian manakala seorang wanita, Paridah Spii, 68, luka di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, nahas berlaku selepas kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan bergesel dengan penghadang besi di bahu kiri jalan.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta dipandu mangsa berpusing lalu melanggar penghadang besi pemisah jalan di tengah lebuh raya sebelum berpusing semula ke tengah jalan.

“Ia menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan. Sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kanan kereta mangsa.

“Nahas itu menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu dan penumpang Perodua Myvi masing-masing berusia 63 dan 56 tahun tidak mengalami sebarang kecedaraan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR