fbpx

Peluang sektor penjagaan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERDAPAT peluang luas dalam industri penjagaan warga emas di negara ini bagi memenuhi permintaan pasaran. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Malaysia semakin menuju ke arah status negara tua, dengan populasi warga berumur 65 tahun dan ke atas dijangka membentuk hampir 15 peratus daripada jumlah penduduk menjelang tahun 2044.

Berdasarkan kajian oleh Universiti Putra Malaysia pada 2017, Malaysia akan mengambil masa 23 tahun untuk menggandakan populasi berumur 65 tahun dan ke atas, dari tujuh peratus kepada 14 peratus berbanding negara lain seperti Jepun (26 tahun), United Kingdom (45 tahun) dan Australia (74 tahun).

Data tersebut seiring dengan kajian antarabangsa iaitu seramai 605 juta atau 11 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia berumur lebih 65 tahun, menurut laporan DataBridge Research.

Euromonitor International menganggarkan bahawa menjelang 2030, lebih 990 juta orang akan berumur 65 tahun ke atas, manakala dalam kalangan penduduk kumpulan yang paling pesat berkembang antara 2019- 2030 ialah mereka yang berumur 75-79 tahun.

Asia khususnya, mencatat pertambahan penduduk yang didorong oleh kadar kesuburan dan jangka hayat yang lebih lama berbanding benua lain.

Pada masa sama, tahap pendidikan warga emas akan terus meningkat dan lebih ramai bakal bersara dengan pendapatan yang baik, menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Namun anjakan demografi ini akan menjejaskan ekonomi dan sosial, selain kebimbangan terhadap keperluan penjagaan kesihatan baharu.

Cabaran yang paling mendesak buat Malaysia adalah kebergantungan sistem kesejahteraan terhadap tenaga kerja, yang semakin berkurangan berbanding kenaikan kos untuk merawat penyakit yang lama dan panjang.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia menyepadukan segmen penjagaan warga emas ke dalam keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan negara, sambil menggalakkan pelabur menceburi sektor penyediaan perkhidmatan penjagaan warga emas.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi pembentangan Bajet 2022 menyatakan kerajaan menyediakan sokongan penuh kepada pembangunan komuniti tumpuan, terutamanya warga emas.

Peruntukan keseluruhan sebanyak RM635 juta disediakan bagi meningkatkan tahap kualiti kesihatan warga emas merangkumi bantuan sosioekonomi, geran operasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengukuhan Pusat Aktiviti Warga Emas dan Unit Penyayang Warga Emas.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor swasta sedang meneroka peluang pertumbuhan baharu untuk industri penjagaan warga emas.

“Penggunaan teknologi digital seperti Internet Kebendaan (IOT) dan telekesihatan boleh menyediakan data masa nyata, komunikasi berkesan dan sokongan buat pengendali meminimumkan risiko menguruskan warga emas,” katanya.

Malaysia merangkul gelaran ‘Kesihatan dan Pelancongan Perubatan: Destinasi Terbaik Tahun Ini’ di Anugerah Jurnal Perjalanan Perubatan Antarabangsa (IMTJ) 2020, selain menduduki tempat ke-15 dalam kategori ‘Penjagaan Kesihatan Terbaik Dunia’ dalam Indeks Persaraan Global Tahunan International Living 2022.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan untuk mendukung prestasi perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta supaya kekal cemerlang di pentas antarabangsa.

MIDA menambah, kerajaan menyediakan Elaun Cukai Pelaburan ke atas perbelanjaan modal yang layak dalam tempoh lima tahun untuk projek baharu yang diluluskan bagi sektor kesihatan swasta bertaraf antarabangsa yang diiktiraf.

“MIDA akan terus komited menarik pelabur yang berupaya meningkatkan profil perkhidmatan penjagaan kesihatan, dengan memperkenalkan teknologi dan inovasi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Penjagaan Kesihatan, Pendidikan dan Hospitaliti MIDA atau layari www.mida.gov.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI