HANYALAH wanita biasa yang tidak begitu dikenali umum sebelum ini, namun baru-baru ini, nama Droupadi Murmu menjadi sebutan bukan sahaja di India, bahkan hampir seluruh dunia selepas beliau dilantik sebagai Presiden India ke-15 menerusi undian elektoral.
Lantaran itu, sejak 21 Julai lalu, wanita ini dibanjiri ucapan tahniah daripada segenap lapisan masyarakat yang teruja dengan pelantikan tersebut.
Siapa sangka seorang dalam kalangan masyarakat Orang Asli atau suku kaum yang dahulunya membesar di sebuah perkampungan tidak membangun mampu menakluki Rashtrapati Bhavan, kediaman rasmi presiden di Delhi pada usia 64 tahun.
Droupadi mengangkat sumpah Presiden India pada 25 Julai lalu bagi menggantikan Ram Nath Kovind, 76, yang telah tamat penggal lima tahun kepimpinannya.
Menurut akhbar The Times of India, Droupadi bukan sahaja menjadi individu pertama berjaya menyandang jawatan tersebut dalam kalangan Orang Asli, tetapi juga merupakan presiden termuda, selain presiden pertama dilahirkan selepas negara itu mencapai kemerdekaan.
Pemilihannya sebagai Presiden India juga menyaksikan dirinya wanita kedua selepas Pratibha Patil yang memegang jawatan tertinggi negara tersebut, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam arena politik India.]

Bagi masyarakat India, Droupadi yang berasal daripada suku kaum minoriti, Santhal dilihat sebagai simbol keberanian dan keazaman.
“Saya terkejut, tetapi pada masa sama, turut gembira. Sebagai seorang wanita daripada puak terpencil di Mayurbhanj, saya tidak terfikir untuk menjadi calon, apatah lagi memenangi jawatan tertinggi.
“Namun, Pakatan Demokratik Nasional (NDA) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Narendra Modi telah berjaya menjadikan saya medium untuk menghubungkan penduduk kampung dengan arus perdana.
“Orang-orang dan suku kaum yang serba kekurangan serta dieksploitasi kini dapat melihat diri mereka dalam diri saya,” katanya sebaik dilantik sebagai presiden kepada portal TheHindu.
Penglibatan Droupadi dalam gelanggang politik bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan pada tahun 2000 dan 2004, beliau pernah memegang pelbagai portfolio dalam kabinet kerajaan negeri Odisha.
Pun begitu, sinarnya di dalam arena politik semakin menyerlah apabila parti politik Bharatiya Janata mencalonkan beliau sebagai calon presiden NDA bagi pilihan raya 2022.
Biarpun pertama kali bertanding merebut kerusi paling penting dalam negara tersebut, namun siapa sangka beliau berjaya menewaskan calon pembangkang, Yashwant Sinha, 84, seterusnya dipilih sebagai Presiden India.
Dikenali sebagai Droupadi, namun wanita ini berkata, nama asalnya ialah Puti Tudu tetapi ia terlebih dahulu ditukar kepada Durpadi dan Dorpdi oleh seorang guru dari daerah lain kerana tidak suka dengan nama tersebut.
Bagaimanapun dia mengambil keputusan untuk menggunakan nama Murmu selepas berkahwin dengan Shyam Charan Tudu yang merupakan seorang pegawai bank.

Menyingkap sejarah hidup wanita nombor satu India ini, Droupadi sebenarnya dilahirkan dalam keluarga yang bergelut dengan kemiskinan di salah sebuah kawasan terpencil dan tidak membangun di India, Uparbeda yang terletak di daerah Mayurbhanj, Odisha.
Zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan pelbagai kisah suka duka. Bagaimanapun, keadaan tersebut tidak menghalang dirinya daripada terus mendapatkan akses pelajaran sehingga berjaya menempatkan diri di menara gading.
Menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni dari Universiti Wanita Rama Devi di Bhubaneswar, wanita ini memulakan kerjayanya sebagai penolong profesor di Institut Pendidikan dan Penyelidikan Integral Shri Aurobindo, Rairangpur.
Selepas itu, beliau bekerja sebagai Pembantu Muda di Jabatan Pengairan dan Tenaga Negeri dari tahun 1979 hingga 1983 di Odisha sebelum memasuki politik.
Daripada seorang pendidik, beliau berjaya memasuki arena politik dan mendapat kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Gabenor Wanita pertama Jharkhand ke-9 dari dari 2015 hingga Julai 2021.
Menjadi kebanggaan golongan wanita India khususnya bagi suku minoriti, siapa sangka di sebalik wajahnya yang tenang, kehidupan wanita ini pernah diselubungi awan mendung sehingga sering bersedih dan terpaksa mengurungkan diri serta mengelak daripada bertemu orang sekeliling.
Itu semua berlaku selepas wanita ini kehilangan insan-insan tersayang.
Diuji dengan kehilangan dua anak lelakinya akibat kemalangan jalan raya, selang beberapa tahun kemudian Droupadi diduga pula dengan kematian suami, ibu dan abangnya dalam jarak enam tahun dari 2009 hingga 2015.
Tidak mahu terus diselubungi duka berpanjangan, pemimpin ini bangkit dengan menubuhkan gerakan meditasi Brahma Kumaris, seterusnya mengamalkan ilmu kerohanian dalam kehidupan harian bagi mengubat jiwanya yang lara.
“Jiwa saya pernah hancur dan mengalami kemurungan. Saya tidak dapat tidur malam selepas kematian anak sehingga ada masanya fikir mungkin akan mati bila-bila masa sahaja.
“Semuanya bagaimanapun berubah selepas saya melawat Brahma Kumaris. Pada waktu itulah, saya sedar terpaksa meneruskan kehidupan untuk dua anak lelaki dan seorang anak perempuan saya sehingga ke hari ini,” ujarnya.
Biarpun kini menjadi salah seorang individu terpenting negara, namun Droupadi tidak sesekali mendabik dada dan menganggap sebagai satu kejayaan peribadi.
Sebaliknya pemilihannya sebagai presiden disifatkan sebagai pencapaian setiap orang miskin di India.
Ini kerana, kejayaan tersebut jelas menunjukkan bahawa seseorang individu bukan sahaja boleh bermimpi, tetapi juga merealisasikan hasrat terpendam.
“Saya dibesarkan di sebuah perkampungan puak kecil yang mana, mahu mendapat pendidikan asas diibaratkan seperti bermimpi.
“Bagaimanapun, saya jugalah merupakan individu pertama di kampung tersebut yang berjaya mendaftar masuk untuk melanjutkan pengajian di kolej.
“Sebagai presiden berlatarbelakangkan keluarga susah, saya amat berbesar hati apabila orang miskin dan mundur negara ini dapat melihat saya sebagai inspirasi serta cerminan diri mereka.
“Setidaknya dengan kejayaan ini, ia boleh menunjukkan tiada apa yang mustahil untuk dicapai oleh jutaan wanita di negara ini, sekali gus meniup semangat agar mereka bangkit melakar kejayaan.
“Kejayaan ini juga dilihat sebagai satu penghormatan kepada kekuatan demokrasi di India. Saya berbangga kerana diberi peluang untuk menerajui negara yang sedang membangun.
“Saya berharap mampu bergerak dengan penuh yakin untuk membina India baharu,” ujarnya.














