fbpx

Akur dengan syarat, perang tamat – Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUNDINGAN damai antara Russia dan Ukraine di Istanbul, Turkiye. - Cem Ozdel / Anadolu Agency via Getty Images

MOSCOW – Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memaklumkan bahawa Ukraine boleh menamatkan konflik yang berterusan pada bila-bila masa dengan akur kepada syarat-syarat Russia, lapor laman berita RT semalam.

“Russia bersedia untuk perjanjian damai, pihak Ukraine sudah maklum dengan syarat kami. Dengan mempertimbangkan banyak aspek, ia akan dipenuhi,” kata Peskov kepada wartawan.

Peskov menjelaskan bahawa pada akhir Mac lalu, kedua-dua negara hampir menyelesaikan pertelingkahan dengan cara yang boleh diterima Russia tetapi draf perjanjian yang disediakan semasa mesyuarat di Istanbul, Turkiye telah dilanggar oleh pihak Ukraine.

Kiev memutuskan rundingan dengan Moscow selepas menuduh Russia melakukan jenayah perang, dakwaan yang dikatakan Russia sebagai bukti yang direka.

Pemimpin Ukraine sejak itu menegaskan bahawa rundingan hanya boleh disambung semula selepas Russia dikalahkan di medan perang dengan bantuan senjata Barat.

Peskov turut mengulas mengenai lawatan bekas Canselor Jerman, Gerhard Schroeder ke Moscow baru-baru ini yang bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Disebalik spekulasi media bahawa bekas pemimpin Jerman itu boleh menjadi orang tengah dalam konflik Ukraine, Schroeder bagaimanapun tidak menyatakan keinginan untuk berbuat demikian, kata Peskov.

Russia menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari lalu, memetik kegagalan Kiev dalam melaksanakan perjanjian Minsk yang direka untuk memberikan wilayah Donetsk dan Lugansk status istimewa dalam negara Ukraine.

Protokol yang diurus oleh Jerman dan Perancis itu pertama kali ditandatangani pada 2014.

Bekas Presiden Ukraine, Petro Poroshenko sejak itu mengakui bahawa matlamat utama Kiev adalah untuk menggunakan gencatan senjata itu untuk mengambil masa dan ‘mewujudkan angkatan bersenjata yang berkuasa’.

Pada Februari lalu, Kremlin mengiktiraf republik Donbass sebagai negara merdeka dan menuntut Ukraine secara rasmi mengisytiharkan dirinya sebagai negara berkecuali yang tidak akan menyertai mana-mana blok tentera Barat. Kiev menegaskan serangan Russia itu tidak diprovokasi olehnya sama sekali. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI