BERILAH apa sahaja watak dalam mana-mana drama mahupun filem, pasti dijiwai Diana Danielle dengan sempurna dan kemas.
Pengalaman bergelar pelakon sejak kanak-kanak, bahkan ilmu yang digali bersama ramai pengarah handalan banyak mengajar pelakon berusia 32 tahun itu untuk bijak mengawal dan menghayati lakonannya dengan berkesan.
Ketika ini, kemampuan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Hanyut itu bagaimanapun tercabar apabila diberi tanggungjawab untuk menggalas watak utama sebuah naskhah adaptasi K-drama, She Was Pretty terbitan Viu Original Malaysia.
Masakan tidak, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia sering dilambakkan dengan tawaran karakter yang serius seperti antagonis.
Namun, untuk She Was Pretty, Diana perlu menjayakan watak asal lakonan pelakon popular Korea Selatan, Hwang Jung-eum, sekali gus harus tampil sebagai wanita lincah dengan tujuh karakter yang kelam-kabut.

Watak asal
Dalam keterujaan menjayakan karakter Nadia menerusi karya arahan Datuk Yusry Abd. Halim itu, Diana mengakui agak tertekan. Dia bimbang memikirkan penerimaan dan perbandingan khalayak terhadap lakonannya.
Bagi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin menerusi filem Gol & Gincu Vol. 2 itu, melakonkan semula watak daripada naskhah popular K-drama merupakan satu tanggungjawab yang berat.
“Ini karakter adaptasi yang disayangi ramai, ada yang sudah menonton drama asal ini berkali-kali. Dari situ, saya sedar pasti akan dinilai dan dibandingkan dengan Jung-eum.
“Agak menggeletar jugalah untuk menerima tawaran ini pada awalnya, namun saya percaya ini juga satu titik tolak perubahan dalam kerjaya seni saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Jujur dari hati, isteri kepada aktor terkenal Farid Kamil itu memberitahu lakonan kali ini sangat meletihkan mental dan fizikal demi memberi persembahan terbaik untuk watak Nadia.
Bukan kerana banyak babak lasak tetapi karakter lincah Nadia memaksanya mengikut rentak untuk seiring menjadi Nadia sebagaimana yang seharusnya.
“Sejujurnya, saya amat penat untuk melakonkan watak ini. Dengan karakternya yang kelam-kabut dan banyak bermain ekspresi. Penting untuk saya samakan energi yang pernah tercipta oleh pelakon asalnya.
“Watak ini kelakar tetapi ada masa dia sangat serius dan kadang-kadang bergelut dengan emosi sendiri.
“Emosi dan ekspresinya bertukar banyak kali. Agak letih untuk kekalkan tenaga dan momentum dalam tempoh yang lama,” kata pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu.

Antagonis
Menyingkap semula watak-watak yang pernah dipegangnya sebelum ini, boleh dikatakan Diana sering menjadi individu antagonis seperti dalam drama Camelia dan Raisha.
Tanpa menyorokkan emosi teruja, dia mengakui tidak berpaling lagi ketika ditawar watak dalam She Was Pretty sementelah sudah terlalu lama tidak menjayakan genre romantik komedi.
“Saya jarang menjayakan watak romantik komedi kerana ramai yang menganggap saya lebih memilih untuk membawa karakter antagonis atau dramatik.
“Jika nak tahu, watak dalam She Was Pretty lebih dekat dengan personaliti saya yang sebenar iaitu periang dan suka ketawa,” tuturnya.
Diana juga berlapang dada jika ditafsir sebagai wanita yang berpesonaliti serius dek kekerapan menjayakan watak berat.
“Mungkin sebab sebelum ini sering bawa watak berat, orang sudah anggap saya seorang yang serius.
“Saya kini masih dalam mood untuk menerima dan menjayakan watak yang lebih ringan. Harapnya ada yang tawarkan lagi saya watak sebegini lagi,” tambahnya.
Dilayangkan pertanyaan tentang kelibatnya yang sudah jarang menghiasi drama televisyen sejak kebelakangan ini, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui bajet antara yang mempengaruhi perkara tersebut.
“Jujurnya kalau anda ditawarkan sesuatu pekerjaan berbajet lebih besar. persekitaran kerja yang teratur serta selesa, pasti akan jadi pilihan utama.
“Kriteria sebegitu penting untuk saya ketika ini, terutama pekerjaan yang melibatkan waktu kerja dan komitmen yang hampir sama dengan projek lain.
“Bagaimanapun saya juga bakal muncul dengan sebuah filem bertajuk Imaginur tidak lama lagi, nantikan,” katanya yang pernah muncul dalam drama Ganjil bersama Fattah Amin yang juga terbitan Viu Original.















