fbpx
Gambar edaran Kementerian Luar Taiwan menunjukkan Pelosi bergambar bersama delegasinya semasa tiba di Lapangan Terbang Songshan di Taipei. - AFP

China kerah jet pejuang, kapal perang ke Selat Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING – China mengerahkan sebilangan jet pejuangnya ke Selat Taiwan semalam, sejurus sebelum ketibaan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei, yang telah meningkatkan tekanan antara Washington dengan Beijing, lapor stesen penyiaran NDTV.

Pemerintah China sebelum ini berkali-kali memberi amaran yang menentang lawatan Pelosi ke Taiwan, yang didakwa Beijing sebagai wilayah miliknya.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata, ahli politik AS yang ‘bermain dengan api’ terhadap isu Taiwan perlu menanggung akibatnya.

Ketika ketegangan semakin memuncak, beberapa jet pejuang China dilihat terbang hampir dengan garisan tengah yang memisahkan Selat Taiwan, awal pagi semalam, kata seorang sumber.

Beberapa kapal perang China turut dirakam belayar berhampiran dengan garisan tersebut sejak kelmarin.

Sumber berkata, kesemua kapal perang dan jet pejuang ditempatkan dalam kedudukan begitu hampir dengan lokasi tersebut, satu gerakan luar biasa yang disifatkan ‘amat provokatif’.

Pesawat milik China juga berulang kali melakukan gerakan taktikal yang ‘menyentuh’ garisan tengah dan kembali ke bahagian lain di selat itu, manakala jet pejuang Taiwan berada dalam keadaan bersiap sedia di lokasi berhampiran.

Pesawat tentera China bagaimanapun dilaporkan meninggalkan kawasan itu pada waktu petang, namun kapal perang kekal berada di situ, kata sumber tersebut.

Dalam pada itu, sejurus selepas Pelosi mendarat di Taipei, sebilangan diplomat China mengisytiharkan lawatan beliau sebagai menjejaskan kedaulatan antara China dan AS secara serius, lapor akhbar New York Times.

Pejabat Hal Ehwal Taiwan Parti Komunis China berkata, sebarang percubaan untuk mendapatkan kemerdekaan oleh Taipei akan dihancurkan oleh kuasa kuat rakyat China. – Agensi 

 

POPULAR