fbpx
ASKAR dan petugas kecemasan membantu mangsa selepas serangan roket tentera Russia ke atas sebuah stesen kereta api di bandar Kramatorsk, rantau Donbass pada 8 April lalu. - AFP

Presiden Ukraine mahu ratusan ribu penduduk tinggalkan rantau bergolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIEV – Presiden Volodymyr Zelenskyy meminta kerajan pimpinan beliau mengarahkan perpindahan mandatori terhadap penduduk di wilayah Donetsk, timur Ukraine yang menjadi lokasi pertempuran sengit dengan Russia, lapor agensi berita United Press International (UPI).

Dalam ucapan televisyen lewat malam, Zelenskyy berkata, beratus-ratus ribu orang awam masih berada di zon pertempuran rantau Donbas yang merangkumi Donetsk dan wilayah Luhansk, juga perlu berpindah.

“Lebih ramai orang meninggalkan Donetsk sekarang, semakin kurang penduduk awam yang dapat dibunuh oleh tentera Russia,” katanya sambil menambah, penduduk yang berpindah akan diberikan pampasan.

Dalam satu kenyataan berasingan, media Ukraine memetik Timbalan Perdana Menteri, Iryna Vereshchuk sebagai berkata, penduduk perlu berpindah sebelum musim sejuk bermula kerana bekalan gas asli ke rantau itu telah dimusnahkan.

Zelensky berkata, beberapa ratus ribu orang masih tinggal di Donbas di mana pertempuran sengit berterusan.

“Ramai yang enggan berpindah tetapi ini perlu dilakukan. Jika anda mempunyai peluang, tolong pujuk mereka yang berada di zon pertempuran di Donbas. Tolong yakinkan mereka supaya berpindah,” katanya.

Pada Sabtu lepas, tentera Ukraine menyatakan bahawa lebih 100 askar Rusia terbunuh dan tujuh kereta kebal dimusnahkan dalam pertempuran di selatan Ukraine hari sebelumnya.

Tentera Russia mengalihkan tumpuan kepada rantau Donbas selepas kemaraan mereka disekat ketika cuba menakluki keseluruhan Ukraine awal tahun ini.

Sebahagian besar rantau Donbas dikawal oleh kumpulan pemisah pro-Russia sejak Moscow merampas Semenganjung Crimea pada 2014. Presiden Vladimir Putin mengiktiraf Luhansk dan Donetsk sebagai negara republik yang merdeka sebelum pencerobohan Ukraine bermula pada 24 Februari lalu.

Putin dijangka merampas rantau itu dalam masa beberapa bulan lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, kemas kini terbaharu menunjukkan sekurang-kurangnya 5,237 orang awam disahkan terbunuh sejak pencerobohan Russia termasuk 348 kanak-kanak.

Data daripada PBB mendapati lebih 6,162,309 orang pula menjadi pelarian sejak Februari lepas. – Agensi 

POPULAR