fbpx

Dulu pelawak pernah jadi ‘superstar’ – Shamsul Ghau Ghau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAMSUL GHAU GHAU kini muncul dengan drama baharu, Guard Komando.

PROGRAM hiburan terkenal TV3, Sinaran Pasport Kegemilangan menjadi pentas sulung kepada pelakon, pelawak dan juga penyanyi Shamsul Ghau Ghau mencipta nama sebagai anak seni.

Sebelum bergelar selebriti, Shamsul atau nama lengkapnya Shamsul Azahar Aliddin pada awalnya bergelar seorang pegawai polis.

Sepanjang bergelar anak seni sejak tahun 1994, pelbagai naskah drama dan filem sudah dibintangi Shamsul sehingga meledakkan namanya sebagai antara pelakon popular pada masa itu.

Senario The Movie, Soal Hati, Sara, Lang Buana, Sifu & Tongga dan 9 September merupakan antara naskah yang menampilkan Shamsul sebagai salah seorang peneraju menjayakan filem-filem tersebut.

Hari ini, Shamsul harus akui zaman kegemilangannya sudah pun berlalu selepas lahirnya pelawak-pelawak baharu mewarnai industri seni hiburan tempatan.

Ditemu bual HibGlam semasa sidang media secara virtual drama Guard Komando baru-baru ini mengakui sudah lapan tahun tidak mendapat tawaran watak utama sehingga akhirnya diberi peranan besar untuk drama arahan pengarah Mp. Roslin itu.

Shamsul mengakui berasa takut dan gementar apabila sudah lapan tahun tidak mendapat tawaran watak utama dan kini digandingkan dengan tiga pelakon popular iaitu Fendy Bakry, Mark Adam dan Jiggy Masin.

“Apabila dah lama tidak melakonkan watak utama, mestilah ada rasa takut, gugup dan gementar. Apatah lagi, melihatkan tiga pelakon lain yang menjadi anak saya iaitu Fendy Bakry, Mark Adam dan Jiggy Masin.

“Kesemua mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Fendy ialah seorang pelakon popular, Mark pula ada berjuta pengikut dalam Instagram dan Jiggy kini menjadi antara pelawak baharu yang semakin mendapat perhatian ramai.

“Jadi, memang ada sedikit kebimbangan untuk berlakon pada mulanya.

“Tapi, saya tidaklah tunjukkan dengan jelas kepada mereka bertiga dan cuba bersikap tenang saja. Namun, alhamdulillah kami dapat mewujudkan keserasian sebagai anak-beranak,” katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman dalam industri, Shamsul enggan untuk bersikap selektif dan memilih kerana sedar usianya bukan lagi muda untuk bersikap sebegitu.

Bagaimanapun, pelawak yang pernah popular menerusi lagu Selamat Jalan Romeo berharap agar diberikan watak bersesuaian dengan usianya yang kini mencecah 54 tahun.

Disoal tentang rahsia membolehkan seseorang pelawak itu kekal relevan untuk tempoh yang panjang, Shamsul memberitahu telah mengambil inisiatif dengan melakukan kajian sendiri untuk melihat bagaimana seseorang pelawak itu untuk kekal.

“Ketika zaman 1970-an, pelawak yang terkenal pada ketika itu ialah AR Badul. Kemudian muncul Mr. Os pada tahun 1990-an. Kemudian ada Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Senario dan terkini pelawak-pelawak yang lahir dari program Maharaja Lawak.

“Zaman berubah, sementara pelawak datang dan pergi. Tapi macam mana seseorang itu boleh kekal relevan? Untuk pelawak terdahulu yang mungkin pernah diangkat sebagai ‘superstar’, kini anda merupakan bekas ‘superstar’.

“Kaedah yang saya dapati untuk kekal relevan ialah, jika tidak boleh bersaing dengan mereka, maka sertailah mereka.

“Walaupun tidak lagi bergelar hero, sekurang-kurangnya kita berada dalam kelompok pelawak yang sedang popular hari ini,” ujarnya.

Selain berlakon, Shamsul juga sebelum ini difahamkan terbabit dengan aktiviti mengajar mengaji al-Quran dan dia juga mempunyai kad tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Kad Tauliah Kategori D3 itu adalah Tauliah Mengajar al-Quran yang melayakkan Shamsul atau mesra disapa Pak Su dibenarkan mengajar mengaji di sekitar Selangor.

Selain Shamsul, drama Guard Komando lakonan Fendy sebagai Kholid, Mark (Mansur) dan Jiggy (Dollah) akan menemui penonton di slot Diandra TV9 setiap Khamis dan Jumaat, jam 8.30 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI