Banyak kisah misteri dan menyeramkan berlaku ke atas pemandu teksi dan e-hailing yang bekerja sampai lewat malam.
Salah satunya adalah peristiwa menyeramkan yang berlaku kepada seorang pemuda yang merupakan pemandu e-hailing mengambil wanita dan bayinya untuk di bawa ke satu destinasi di Alor Setar, Kedah pada waktu malam.
Selepas tiba ke destinasi, wanita itu meminta untuk mengambil wang di rumahnya dan meninggalkan bayinya dalam kereta. Selepas lama menunggu dan wanita itu tidak muncul, pemandu tersebut melihat bayi yang ditinggalkan rupa-rupanya batu nisan.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–SUDAH menjadi rutin Azman, 46, (bukan nama sebenar) keluar mencari rezeki tambahan sebagai pemandu e-hailing selepas selesai tugasnya sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta di Pokok Sena, Kedah sejak empat tahun lalu.
Pendapatannya yang sekadar cukup makan itu menyebabkan dia terpaksa mencari duit lebih bagi menyara anak-anaknya yang masih bersekolah.
Semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Alor Setar, dia menerima pelanggan pertama yang mahu ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas, Alor Setar dari Pekan Langgar.
Dia bersyukur kerana menerima permintaan yang banyak pada hari itu sehingga memerlukannya memandu sehingga ke Bukit Kayu Hitam untuk menghantar pelanggan ke sana.
“Saya selesai menghantar pelanggan di Bukit Kayu Hitam pada pukul 10 malam. Pada masa itu, saya hanya fikir mahu pulang ke rumah kerana sudah terlalu penat.
“Namun, semasa dalam perjalanan pulang, saya menerima seorang lagi pelanggan yang mahu dihantar dari Masjid Derga ke Masjid Tanjung Bendahara.
“Walaupun letih, saya terima permintaan itu kerana kebetulan laluannya sama dengan laluan saya pulang ke rumah di Alor Mengkudu di Alor Setar,” ujarnya.
Menurutnya, sebaik tiba ke destinasi tersebut, dia mendapati pelanggannya merupakan seorang wanita yang sedang mengendong bayi.

di rumah ibunya. – GAMBAR HIASAN
“Saya terus menjemput wanita berbaju kurung putih itu masuk ke dalam kereta dan wanita itu hanya menganggukkan kepala sahaja.
“Sepanjang perjalanan, dia hanya melihat bayi yang didukungnya itu dan langsung tidak bercakap.
“Pada masa itu, saya tidak berasa pelik kerana menganggap dia enggan diganggu.
“Wajahnya tidak jelas kerana terlindung dengan tudung yang dipakainya,” ceritanya lagi.
Kata Azman, sewaktu tiba di Masjid Tanjung Bendahara, wanita terbabit memintanya memberhentikan kereta di tepi jalan.
Wanita itu kemudian meminta Azman menjaga bayinya sebentar kerana terlupa membawa wang dan mahu mengambilnya di rumah ibunya di belakang masjid itu.
Selepas hampir lima minit menunggu, wanita itu masih lagi tidak kelihatan menyebabkan dia keluar dari kereta sementara menunggunya.
Setelah sekian lama menunggu, Azman mula rasa resah kerana wanita berbaju kurung putih itu masih belum muncul.
“Lalu terdetik di hati saya untuk melihat bayi yang ditinggalkan di tempat duduk penumpang belakang kereta lalu menarik kain yang menutupi bayi tersebut.
“Alangkah terkejutnya, bayi yang ditinggalkan itu rupa-rupanya batu nisan kecil,” katanya.
Menurut Azman, dia terus mencampakkan batu nisan itu ke tepi jalan sambil beristighfar beberapa kali dan terus masuk ke dalam kereta untuk pulang ke rumah.
“Semasa dalam perjalanan pulang, kereta saya berbau seperti kemenyan. Apa yang saya boleh buat ketika itu adalah membaca ayat-ayatsuci al-Quran sebelum bau misteri itu hilang dengan sendiri,” ujarnya.
Tambah Azman, itu merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sepanjang hidupnya.
“Selepas beberapa bulan kemudian, saya mendapat tahu daripada orang-orang lama di situ bahawa seorang pemandu teksi pernah berhadapan kejadian sama sebelum ini,” katanya.
















