Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan lagu Casablanca menjadi trending di Malaysia ketika ini.

‘Degup’ Casablanca, tsunami Mat Kilau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, dunia hiburan tanah air sedang berbangga dengan dua penghasilan. Nombor satu, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan kedua, lagu Casablanca.

Casablanca dilancarkan pada 4 Jun, manakala Mat Kilau pula memulakan tayangan pada 23 Jun, kedua-duanya masih bawah pengaruh ‘kelahiran’ sama.

Jika diibaratkan gunung berapi, kedua-dua karya itu mencetuskan ledakan besar bahkan tsunaminya mampu melahap segala harta dan nyawa di sekeliling.

Bezanya, kedua-dua naskhah seni daripada dua bentuk berbeza itu membawa fenomena terhadap landskap dunia hiburan tanah air. Boleh juga dikatakan magis bahawa sesuram manapun pencapaian industri sejak dunia dilanda pandemik tetap ada cahaya benderang menghamparkan harapan.

Dengan pencapaian RM90 juta sepanjang lima minggu tayangan, termasuk di Brunei dan Singapura, tidak mustahil buah tangan pengarah sensasi Syamsul Yusof itu mampu mendaki sehingga ke tangga RM100 juta jika terus ditayangkan!

Sama juga dengan Casablanca, entah siapa-siapalah si penyanyinya, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu sehingga lagu berkenaan mampu menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.

Terkini, video muzik rasminya mencecah tontonan hampir 12 juta, Casablanca Challenge dalam TikTok (17 juta tontonan), itu catatan yang luar jangka.

Melihat pencapaian demi pencapaian, ungkapan seorang pensyarah dalam sebuh kuliah seni satu ketika silam tiba-tiba menyapa: “Tidak kiralah seburuk atau setinggi mana pun nilai estetikanya, sebuah karya seni yang baik adalah karya yang sampai kepada khalayak.”

Biarpun tidak sehebat karya besar global seperti Top Gun: Maverick atau About The Damn Time (nyanyian Lizzo) yang menerjang ke tangga nombor satu dunia ketika ini, Mat Kilau dan Casablanca sedang meraikan kejayaan paling lumayan pernah diraih dalam sejarah karya Melayu.

Tidak kiralah dikecam soal bunga silat, bukan keris Pahang, kostum citrawarna Malaysia, KL Gangster versi epik atau khutbah perjuangan berjela-jela, pertuturan tidak melambang zaman dan macam-macam. Mat Kilau juga bukan filem yang sempurna, jauh sekali memasuki kategori ‘art house’, tetapi benda hebat pasti diperdebat. Pengkritik pastinya mahu bijak dengan hujah tepat.

Namun, perdebatan yang mencetuskan polemik itulah juga yang menjual Mat Kilau sehingga mendapat keuntungan kasar hampir 10 kali ganda daripada bajet asal. Terima kasih kepada kuasa tular sebenarnya.

‘Denyut jantungku berdebar’, lirik Casablanca juga tidak kalah diperdebatkan apabila ada guru bahasa Melayu mempertikaikan soal ketepatan ‘denyut’ yang sepatutnya ‘degup’. Malas mahu ikut berdebat kerana dalam kesusasteraan tidak ada yang salah, cuma kurang tepat.

Yang penting di mana ruang istilah itu digunakan, di situlah letaknya diksi dan laras bahasa. Bagi yang sekadar mahu masuk ke ruang debat untuk sama-sama tunjuk pandai, sila simpan sebab guru bahasa Melayu pun belum tentu santun hujahnya. Ingatlah, yang kurik itu kendi yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN