fbpx

Bekas Hakim Syarie penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Amir Danuri yang dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1444 Hijrah diraikan bersama ahli keluarganya sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Hakim Syarie Johor, Datuk Amir Danuri dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah bersempena sambutan Maal Hijrah 1444 Hijrah Peringkat Negeri Johor, hari ini.

Amir, 72, yang kini berkhidmat sebagai Panel Mahkamah Rayuan Syariah Johor menerima wang tunai RM10,000 berserta sijil penghargaan, plak dan hadiah iringan berjumlah RM2,000.

Bapa lapan anak itu meluahkan rasa syukur atas penghargaan tersebut dan menganggap kejayaannya adalah berkat doa daripada ibu, Dakyah Laman.

“Walaupun menghadiri mesyuarat berkaitan undang-undang dan jabatan, saya tetap akan maklum dan mohon doa daripada emak.

“Malah apa sahaja kerja yang dilakukan, kita mesti minta doa daripada ibu. Itulah rahsia kejayaan saya hingga menamatkan karier sebagai Ketua Hakim Syarie Johor,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini hari ini.

Amir yang berasal dari Tangkak memberitahu, bapanya meninggal dunia pada 1973 manakala ibunya pula menyusul pada 2007.

Beliau yang mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Kaherah, Mesir turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di atas penganugerahan tersebut.

Amir aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sejak 1987 termasuk dalam Persatuan Pegawai Syariah selain pernah berkhidmat sebagai Kadi Daerah dan Hakim Mahkamah Syariah.

Diminta mengulas mengenai perundangan Islam di negara ini, beliau berharap usaha kerajaan untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 dapat dilaksanakan bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI