fbpx

Tanpa penguatkuasaan, undang-undang digubal tidak bermakna – Tengku Hassanal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar usaha melindungi Harimau Malaya yang diancam kepupusan diperkasakan bagi memastikan haiwan itu terus kekal di negara ini.

Baginda bertitah dalam usaha itu penguatkuasan yang tegas dan sewajarnya perlu dilaksanakan serta keluasan hutan yang menjadi habitat haiwan itu juga wajar dipertingkatkan setiap tahun.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

“Kita telah mempunyai undang-undang untuk melindungi hidupan liar dan kawasan hutan, bagaimanapun tanpa penguatkuasaan sewajarnya undang-undang yang digubal ini tidak mempunyai sebarang makna dan tidak dapat mengekang sindiket pemburu haram antarabangsa.

“Kita memerlukan agensi kerajaan yang bersikap tegas dalam melindungi hidupan liar dan habitatnya,”titah baginda sempena Hari Harimau Sedunia hari ini.

Tambah baginda, peruntukan undang-undang untuk melindungi hutan simpan juga penting bagi membantu memelihara sumber tadahan air serta mengurangkan implikasi banjir.

Menurut Tengku Hassanal Pahang, keluasan hutan yang besar iaitu kira-kira 57 peratus daripada keluasan negeri menyediakan habitat sesuai untuk pembiakan harimau yang jauh daripada penempatan manusia.

“Usaha dan keberkesanan dalam memerangi aktiviti pemburuan dan perdagangan haram akan gagal jika tidak seiring dengan penekanan yang sama terhadap perlindungan hutan dan saya juga bertitah agar kerajaan negeri saya dapat meningkatkan keluasan kawasan hutan setiap tahun,”katanya.

Sementara itu, baginda bertitah Hari Harimau Sedunia yang disambut setiap tahun pada 29 Julai bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat umum tentang spesies harimau yang semakin diancam kepupusan.

Baginda bertitah disebabkan pemburuan haram dan kemusnahan habitat, dianggarkan hanya tinggal kira-kira 150 ekor Harimau Malaya di negara ini dan bilangannya semakin merosot setiap tahun.

“Harimau Malaya melambangkan kekuatan, kekuasaan dan keberanian serta merupakan simbol kemegahan negara kita seperti yang dapat dilihat pada Jata Negara.

“Namun spesies ini kini kian terancam, malah Harimau Malaya disenaraikan dalam kategori sangat terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN),” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI