BERITA kematian seekor panda jantan yang merupakan penghuni tetap taman tema Ocean Park, Hong Kong pada usia 35 tahun minggu lalu menjadi tajuk utama banyak akhbar di seluruh dunia.
Selepas ini, tiada lagi kelibat panda bernama An An berperwatakan penuh semangat dan nakal yang boleh disaksikan pengunjung di taman tema yang terletak di Aberdeen, Hong Kong itu.
Kematian beruang tersebut yang diumumkan menerusi laman Facebook rasminya adalah diakibatkan oleh euthanasia atau ‘pembunuhan belas kasihan’ susulan beberapa komplikasi kesihatan yang dialami panda tersebut.
“Dengan penuh rasa dukacita, Ocean Park mengumumkan kematian An An.
“An An merupakan ahli keluarga kami yang telah membesar bersama-sama taman tema ini. Ia juga mempunyai hubungan akrab dengan warga tempatan dan juga pelancong.
“An An menjalani kehidupan sepenuhnya dan mati pada usia 35 tahun iaitu bersamaan dengan 105 tahun usia manusia,” demikian tulis kenyataan pada laman Facebook tersebut.
Ia seterusnya dibanjiri dengan komen netizen yang turut sama bersedih atas kematian haiwan comel tersebut.

Seorang pengunjung cilik taman tema tersebut dikenali sebagai Ana Ma, 10, menyifatkan dia begitu sedih apabila mendapat tahu haiwan yang sering dilawatinya sejak kecil itu sudah tiada lagi.
“Saya sering datang ke taman tema ini ketika kecil dan merakamkan banyak gambar bersama An An.
“Tiada panda yang mampu menggantikan tempatnya,” kata kanak-kanak itu.
Seorang wakil daripada Biro Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan China pula menulis, An An telah menemani penduduk bandar itu selama 23 tahun dan meninggalkan banyak memori indah.
“Kami amat berdukacita atas pemergiannya,” tulis wakil itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Ocean Park, Paolo Pong berkata, kecerdikan dan sikap manja beruang itu akan amat dirindui semua.
An An dilahirkan pada Ogos 1986 di Sichuan, China. Pada asalnya, ia tinggal di Hutan Simpan Nasional Wolong sebelum dihantar ke Ocean Park pada Mac 1999 sebagai hadiah daripada pihak Beijing kepada Hong Kong.
An An dihadiahkan kepada taman tema itu oleh pemerintah China 23 tahun lalu bersama seekor lagi panda betina yang dinamakan Jia Jia.
Jia Jia yang dipercayai merupakan panda gergasi betina tertua dunia bagaimanapun mati pada tahun 2016 ketika berusia 38 tahun.

Selepas kematian Jia Jia, pasangannya itu menjalani kehidupan ‘solo’ dan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada tahun lalu secara bersendirian.
An An makan kek ais buah-buahan dari Haagen-Dazs, tebu dan buluh sambil dikelilingi beberapa keping kad ucapan yang dibuat dan ditulis oleh pekerja Ocean Park.
Sememangnya panda merupakan pilihan utama untuk dijadikan sebagai hadiah diplomatik daripada Beijing.
Ketika dua ekor haiwan itu mula tiba di Hong Kong, Tung Chee-hwa yang merupakan bekas Ketua Eksekutif Hong Kong berkata, nama An yang bermaksud kestabilan dan Jia bermaksud prestasi hebat boleh memberikan kebaikan kepada bandar itu.
Ketika berita An An yang lesu tidak bermaya dan mula hilang selera makan diumumkan minggu lalu, Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee menghubungi Ocean Park untuk menyuarakan kebimbangan beliau.
Menurut laporan pegawai rasmi taman tema tersebut, beberapa hari sebelum kematiannya, An An mula menolak makan makanan pejal dan kelihatan lesu.
Ia hanya minum air dan elektrolit, malah ia makan jauh lebih sedikit berbanding jumlah pengambilan tebunya sebelum ini, iaitu sebanyak 13 kilogram (kg) sehari.
Panda lazimnya mempunyai jangka hayat antara 14 sehingga 20 tahun. Malah, panda yang berada dalam kurungan juga jarang sekali mencapai umur 30 tahun.
Menurut kiraan Ocean Park, satu tahun panda bersamaan dengan tiga tahun manusia.

Pong berkata, usia An An yang mampu hidup melebihi jangka hayat seekor beruang panda biasa menunjukkan usaha dan komitmen berterusan taman tema itu terhadap penjagaan panda gergasi.
Premis itu masih lagi menjadi rumah kepada dua lagi panda gergasi iaitu Ying Ying yang merupakan panda betina dan Le Le (jantan).
Kedua-dua ekor haiwan itu telah dihadiahkan oleh pemerintah China pada tahun 2007.
China menghabiskan tempoh selama setengah abad dalam usaha meningkatkan populasi haiwan ikonik itu dengan mewujudkan rizab panda yang luas merentasi beberapa banjaran gunung.
Ia sebagai usaha menyelamatkan haiwan tersebut daripada diancam kepupusan.
Walaupun panda gergasi disenaraikan sebagai spesies terancam pada tahun 1990 oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi, namun pada tahun 2016, organisasi itu mengklasifikasikan semula beruang panda sebagai haiwan ‘rentan’.
Sehingga tahun lalu, terdapat kira-kira 1,800 panda gergasi liar dengan 500 ekor panda gergasi liar di China dan 500 ekor panda gergasi di dalam kurungan di seluruh dunia.
Panda merupakan haiwan yang cukup unik memandangkan ia hanya dilahirkan dengan bulu berwarna hitam dan putih.
Malah, ia juga merupakan antara haiwan yang paling disukai kerana rupanya yang comel.
Beruang itu juga dianggap sebagai khazanah negara China dan cukup signifikan dengan Tabung Hidupan Liar (WWF) yang menggunakan gambar haiwan tersebut pada logonya sejak ditubuhkan pada tahun 1961.
Panda lazimnya hidup di kawasan hutan sederhana tinggi di pergunungan barat daya China dan memakan buluh sebagai makanan utamanya.
Panda perlu makan sekitar 11 hingga 38kg buluh setiap hari, bergantung kepada bahagian pokok buluh tersebut.
















