fbpx

Empat sekeluarga ditahan disyaki aktif mengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENG Lai (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah disyaki didalangi empat sekeluarga di IPD Sentul hari ini.

KUALA LUMPUR – Kegiatan empat sekeluarga disyaki aktif mengedar dadah terbongkar apabila mereka ditahan menerusi serbuan berasingan di Jalan Kuching dan Taman Indah Perdana, Kepong pada Isnin lalu.

Difahamkan, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM328,385 menerusi tiga serbuan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kegiatan keluarga itu terbongkar apabila polis menahan dua individu berusia 38 dan 27 tahun pada pukul 1.45 pagi di sebuah kondominium dekat Jalan Kuching.

“Hasil siasatan dua individu itu membawa kepada tangkapan melibatkan seorang bapa dan anak perempuan tirinya berusia 47 dan 18 tahun di tempat letak kereta kediaman yang sama bersama 11,000 pil Erimin 5 serta 200 pil ekstasi.

“Kita juga turut menemui wang tunai sebanyak RM7,000 dipercayai hasil jualan dadah dua beranak berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Menurut Eng Lai, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Indah Perdana, Kepong sebelum menahan si ibu serta anak lelaki berusia 38 dan 19 tahun.

“Hasil pemeriksaan, polis turut menemui 100 gram (g) dadah jenis ketamin serta 90 (g) serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) menjadikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM328,385.

“Kita juga merampas wang tunai berjumlah RM40,000 dipercayai hasil jualan dadah oleh keluarga terbabit yang mula aktif sejak tahun lepas,” ujarnya.

Tambah Eng Lai, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Ogos ini di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI