fbpx

5,000 penduduk Kuala Krai terima bekalan air bersih LRA Tualang 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (dua dari kanan) melawat operasi loji selepas Majlis Perasmian LRA Tualang 2, Kampung Batu Lada dekat Kuala Krai hari ini. FOTO ROSMIZAN RESDI

KUALA KRAI – Loji Rawatan Air (LRA) Tualang 2 Kampung Batu Lada di sini yang dibina dengan kos sebanyak RM 49 juta mampu membekalkan air bersih kepada 5,000 pengguna di tujuh buah kampung di sekitar daerah ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek yang diluluskan menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) juga mampu membekalkan air untuk kegunaan penduduk dengan kapasiti 20 juta liter sehari (JLH).

Menurutnya, antara kawasan yang akan menerima manfaat daripada itu ialah Bandar Kuala Krai termasuk kawasan sekitar iaitu Kampung Guchil, Kampung Sungai Durian, Taman KK Height, Kampung Sedek, Kampung Tualang, Taman Kuala Krai dan Kampung Batu Lada.

“Sebelum ini, Bandar Kuala Krai dan kawasan berkenaan menerima air terawat dari LRA Tualang Lama dan LRA Pahi.

“Setelah LRA Tualang 2 beroperasi, margin rizab bekalan air terawat di Kuala Krai mencecah 20 peratus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Tualang 2 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad, projek yang dimulakan pada 27 Oktober 2017 itu diambil alih oleh Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSAB) pada 30 November 2020.

Katanya, proses rawatan air di LRA Tualang 2 akan menjalankan empat kegiatan utama iaitu sumber air mentah dari telaga jejari, pengoksidaan bertekanan tinggi, rawatan air melalui sistem Chemilles dan air terawat disalurkan ke tangki Bukit Lada sebelum diagihkan kepada pengguna.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI