fbpx

Elektrik terputus: Kerosakan pencawang di Yong Peng, punca bekalan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa bekalan elektrik di negara ini adalah berdaya harap dan stabil di mana gangguan bekalan mampu dipulihkan dalam tempoh segera, sepertimana dibuktikan dalam kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas hasil kecekapan pasukan teknikal TNB selain rangkaian Grid Nasional itu sendiri mempunyai ciri-ciri pintar yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan.

“Kami telah dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan.

“Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, penduduk di Lembah Klang khususnya panik dengan insiden bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba sehingga mengganggu sistem operasi sama ada di pejabat, hospital, pusat beli-belah serta rumah.

Baharin turut memaklumkan bahawa kejadian yang berpunca dari kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, Johor itu adalah kes terpencil dan kepantasan pemulihan bekalan menggambarkan tahap daya harap rangkaian sistem bekalan TNB.

Jelasnya, kerosakan di PMU Yong Peng North di Yong Peng itu tidak melibatkan sebarang kebakaran dan PMU tersebut telah pun beroperasi sepenuhnya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa TNB akan terus menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap dengan sentiasa melaksanakan senggaraan dan membuat pelaburan bagi meningkatkan keupayaan sistemnya.

Dalam kenyataan sama, Baharin memohon maaf kepada pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan itu dan TNB akan menjalankan siasatan terperinci bersama pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengambil langkah-langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI