GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berpandangan fenomena wanita merokok dalam apa jua bentuk dan caranya adalah satu manifestasi kemelesetan akhlak wanita Muslim masa kini.
Wan Salim berkata, merokok dalam kalangan wanita juga merupakan amalan yang dianggap suatu kebiasaan buruk pada pandangan golongan berakal.
Menurutnya, pada masa lalu, wanita yang merokok dipandang tidak sopan dan maruahnya akan terjejas di mata masyarakat awam.
“Ini menunjukkan kegagalan sistem pendidikan agama dan moral di negara kita dalam memberi didikan yang mampu menanam nilai-nilai moral yang baik kepada generasi muda.

“Majlis Fatwa Kebangsaan di dalam muzakarahnya di Hotel Sama-Sama KLIA pada 21 Disember 2015 telah memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.
Berita berkaitan: Makin ramai gadis muda ketagih hisap e-rokok
“Keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkan kesannya dari sudut kesihatan dan ekonomi berdasarkan kepada kaedah syarak saddu zarai’ iaitu menyekat pintu keburukan ke atas individu dan masyarakat awam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Justeru, beliau memberitahu, sepatutnya pihak kerajaan bertegas untuk melarang kehinaan bahan yang memudaratkan kesihatan rakyat Malaysia.
“Ini juga membazir wang yang sepatutnya digunakan bagi tujuan-tujuan yang memberi faedah dan manfaat kepada warga negara,” tambahnya.















