fbpx

Harga ubat mungkin naik, kos bekalan meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy

KUALA LUMPUR – Harga ubat-ubatan berkemungkinan akan mengalami peningkatan ekoran kenaikan kos bekalan dan kos bahan mentah bagi menghasilkan ubat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, situasi yang berkemungkinan berlaku itu disebabkan perkara yang sedang terjadi di peringkat antarabangsa.

“China negara pengeluar utama bagi Bahan Aktif Farmaseutikal (API). Itu memang tidak boleh didapati di negara lain kecuali negara besar seperti China dan India. Apabila China melaksanakan “total lockdown” telah mengganggu rantaian bekalan bagi API.

“Dalam penghasilan ubat bukan hanya API, tetapi bahan dimasukkan dalam ubat untuk “bind” ubat banyak datang daripada negara seperti Rusia dan Ukraine,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelakkan kenaikan harga ubat.

Khairy Jamaluddin berkata, faktor lain dalam menentukan harga ubat-ubatan adalah berkaitan paten dan masalah itu yang sedang berusaha ditangani oleh KKM.

Menurut beliau, masalah yang berlaku apabila syarikat farmaseutikal mengubah suai ubat sedia ada untuk mohon paten disambung dari tahun ke tahun.

Jelas beliau, keadaan tersebut menyebabkan tiada ubat generik dapat dihasilkan dan akhirnya harga ubat berkenaan kekal tinggi.

Justeru, katanya, KKM harus melihat kepada sumber alternatif ubat-ubatan jika berlaku gangguan kepada rantaian bekalan di peringkat global.

Tambah beliau, KKM juga sedang memperincikan pelaksanaan kawalan harga ubat melalui mekanisme ketelusan harga ubat yang kini dalam penyediaan untuk kelulusan jemaah menteri.

“Saya mahu bawa satu dasar syarikat farmaseutikal mesti bentang kepada kerajaan apakah harga yang dijual atau harga dikenakan untuk ubat-ubat mereka.

“Ketiadaan mekanisme ketelusan harga ubat maka kita tidak tahu apa sebenarnya kos pengeluaran ubat tersebut.

“Kawalan harga pilihan terakhir kerana kerajaan tidak suka campur tangan dalam pasaran, tetapi jika perlu kita pernah lakukan sebagai contoh vaksin Covid-19,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI