fbpx

Budak sembilan tahun derita kanser limfoma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zhahrin Ain (duduk) menjaga Muhamad Wirdas yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga di rumah mereka di Medan Bemban Mesra, Batu Gajah baru-baru ini.

BATU GAJAH – Luluh hati sepasang suami isteri melihat anak kesayangan menderita sakit dalam usia yang terlalu muda dan perlu menjalani pelbagai rawatan.

Zhahrin Ain Mohd. Madzlan, 35, dan isteri, Nurul Amalina Mohd. Arbi, 31, berkata, anak sulung mereka Muhamad Wirdas Hafiy, 9, terpaksa melalui episod rawatan setelah disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga pada Mei lalu.

Menurut Zhahrin Ain, kesihatan Muhamad Wirdas atau lebih mesra dipanggil Wirdas merosot sejak dua minggu sebelum Ramadan apabila dia mengalami bell’s palsy selain kesukaran untuk bernafas.

“Selepas menjalani pemeriksaan, doktor pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan Wirdas menghidap kanser limfoma tahap tiga.

“Walaupun sedih, kami cuba menerimanya dengan positif tambahan lagi Wirdas sendiri kuat. Walaupun dia tahu dia ada kanser, dia pamerkan semangat yang tinggi untuk melawan pe­nyakitnya,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh sebulan lebih Wirdas berada di HRPB, rawatan kemoterapi bagi mematikan sel kanser terus dilakukan dan ia masih berlarutan sehingga kini.

“Setiap kali selesai menjalani rawatan kemoterapi, badan Wirdas akan menjadi lemah dan lesu. Sedih melihat keadaan anak selepas kemoterapi kerana ia cukup memeritkan, namun semangat dia cukup kuat.

“Dia pernah luahkan kepada kami lebih baik dia mati daripada terseksa. Dia juga tahu dia menghidap kanser dan selalu fikir apa akan jadi selepas ini.

“Bagaimanapun, semangat Wirdas kuat dia memang mahu sembuh, sebab itu dia sentiasa bersedia untuk melakukan kemoterapi. Sebagai ibu bapa, kami beri dia semangat untuk tempuh ujian ini,” luahnya.

Zhahrin Ain memberitahu, sejak disahkan menghidap kanser tersebut, Wirdas dinasihatkan doktor untuk tidak ke sekolah ekoran keadaan kesihatannya.

Bagi menghilangkan rasa bosan, anaknya meminta untuk berniaga runcit dengan menjual keropok dan gula-gula di hadapan rumah bagi membolehkan dia mendapatkan ‘duit poket’.

“Sejak dia sakit, isteri tidak lagi berniaga kedai makan. Untung yang diperolehi itu boleh juga menampung perbelanjaan keluarga,” katanya yang bekerja sebagai mekanik dan membaiki motosikal di rumah.

Orang ramai yang mahu meng­hulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun Nurul Amalina 158118455405 (Maybank) atau hubungi Zhahrin Ain di talian 019-524 7646 atau 011-334 88714.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI