fbpx

Agong berkenan rasmi Kem Al-Sultan Abdullah MK AB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah berkenan menandatangani plat penamaan kompleks markas angkatan bersama sebagai Kem Al-Sultan Abdullah sempena majlis perasmian dan penamaan kem terbabit di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli ke majlis perasmian dan penamaan Kem Al- Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama (MK AB) di Jalan Panching, di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, baginda berkenan untuk menandatangani plat penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama sebagai Kem Al-Sultan Abdullah.

Mengiringi baginda dalam majlis berkenaan ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain; dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad.

Kem Al-Sultan Abdullah dinamakan sempena nama Yang di-Pertuan Agong di mana pembinaan kem itu dirancang sejak 2007 dan pemilihan lokasi di Sungai Panching, di sini, dengan kawasan seluas 40 hektar dilihat bersesuaian kerana kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara yang sedia ada di Kuantan diyakini secara langsung dapat menyokong pengoperasian MK AB.

Projek pembinaan Kem Al-Sultan Abdullah siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019 di mana majlis pengoperasian kem itu telah dilaksanakan pada Julai 2019.

Kem terbabit menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

MK AB diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama (Jointness), yang bersifat tiga khidmat (Tri-Service) di dalam ATM.

Selain itu, markas terbabit juga berperanan untuk menyelaraskan keperluan ATM di dalam operasi dan misi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala konsep Assigned Force yang dipraktikkan meletakkan komponen-komponen tempur setiap perkhidmatan di bawah pemerintahan serta kawalan operasi Panglima Angkatan Bersama (PAB).

MK AB berfungsi sebagai sebuah Pemerintahan Peringkat Operasi (Operational Level Command) yang bertanggungjawab terhadap merancang dan melaksanakan semua Operasi Bersama (Joint Operation), Operasi Berkemungkinan Bersama (Potentially Joint Operation), Operasi Gabungan (Combined Operation), Operasi Bersepadu (Integrated Operation) dan Operasi Pelbagai Negara (Multi National Operation) seperti operasi di bawah Piagam PBB.

MK AB juga terlibat melaksanakan Eksesais Bersama dengan Angkatan Tentera dari negara-negara sahabat yang lain.

Dalam pada itu, bersempena majlis tersebut, baginda turut menerima tabik hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Mejar Mohd Noorazmin Abd Rahim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI