fbpx

648 guru di Melaka dikesan tertekan, kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal Saleh pada sesi pertanyaan dan jawapan mulut pada hari kedua Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh. - FOTO:RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Seramai 648 daripada 13,976 guru di negeri ini dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan sehingga menyebabkan sebahagian besar daripada mereka mengambil keputusan untuk bersara awal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, angka itu dikesan selepas saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) yang dilakukan secara sukarela dibuat melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.

Menurut beliau, seramai 28 guru atau 4.32 peratus dikesan berada pada tahap kemurungan.

“Saringan yang dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) adalah untuk mengukur tahap tekanan dan kemurungan dalam kalangan guru di negeri ini.

“Beberapa tindakan telah diambil untuk seperti kaunseling, melaksanakan Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A (sedar dan peka tindak) kepada semua warga JPN,” katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.

Tambahnya, turut dilaksanakan ialah Program Pemulihan, Pencegahan, Pembangunan dan Intervensi (3PI) yang merangkumi Program Literasi Kewangan, Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab), Program Pementoran, Program Mutiara (prestasi sederhana dan rendah) dan Intervensi Guru Positif Covid-19.

Muhamad Akmal (BN-Merlimau) yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin mendedahkan angka itu bagi menjawab soalan tambahan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) mengenai punca kebanyakan guru mengambil tindakan bersara awal di negeri ini.

Sementara itu, menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) mengenai peruntukan untuk menaik taraf dan pembaikan sekolah, Muhamad Akmal memaklumkan, sekolah baharu akan dibina sekiranya sekolah sedia ada sudah mencapai 36 bilik darjah fizikal bagi sekolah rendah dan sekolah menengah sebanyak 42 bilik darjah.

Katanya, permohonan projek baharu yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah Pusat Tingkatan Enam di Bachang, Serkam dan Ayer Limau.

“Terdapat juga naik taraf bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu di Sungai Rambai serta menaik taraf bangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok di Jasin.

“Turut diberi perhatian, bangunan tambahan enam bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SK Kampung Tengah, pembinaan bangunan baharu 24 bilik darjah dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Berendam, pembinaan bangunan tambahan 12 bilik darjah di SK Telok Berembang, pembinaan padang permainan SK Air Baruk, SK Batu Berendam dan SK Ayer Molek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI