fbpx

Mahkamah: Artikel fitnah, PM berjaya peroleh injunksi terhadap Agenda Daily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berjaya memperoleh perintah injunksi (menyekat) yang memerintahkan pemilik portal Agenda Daily Media Enterprise memadamkan artikel yang didakwa memfitnahnya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri, 62, ketika dihubungi media di sini hari ini. Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad pada prosiding kes saman berkenaan yang dijalankan secara Zoom di sini hari ini.

Menurut peguam itu, melalui perintah injunksi kedua belah pihak (inter-parte) itu, Ismail Sabri berjaya mendapatkan perintah supaya pemilik portal Agenda Daily, Muhamad Izwan Mohd. Zubit, 37, memadamkan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’.

Sementara itu, peguam, Asiah Abd. Jalil yang mewakili Muhamad Izwan selaku defendan mengesahkan perkara tersebut.

Beliau turut memberitahu bahawa pada prosiding hari ini, mahkamah turut mencadangkan agar kedua-dua pihak berunding untuk penyelesaian, tanpa perlu kepada perbicaraan penuh.

Pada 18 Februari lalu, Ismail Sabri berjaya mendapatkan perintah sama melalui permohonan permohonan injunksi Ex-parte (sebelah pihak).

Sebelum itu, pada 4 Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak).

Pada 18 Februari lalu, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan (Muhamad Izwan) memadamkan artikel yang diterbitkan, dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

Ismail Sabri selaku plaintif yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa pada 30 Januari lalu, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud beliau terdesak untuk terus menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya.

Artikel itu turut mendakwa tempohnya sebagai Perdana Menteri adalah yang paling singkat dalam sejarah Malaysia.

Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai Perdana Menteri telah tercemar.

Penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel tersebut yang boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

Sementara itu, Muhamad Izwan dalam pernyataan pembelaannya mendakwa beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Ismail Sabri.

Defendan turut menafikan artikel berkenaan mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap plaintif.

Dalam pada itu, Ismail Sabri Yaakob ketika menjawab pembelaan defendan, menegaskan beliau tidak pernah merayu kepada mana-mana parti politik untuk mengekalkan sokongan mereka terhadapnya supaya terus menjadi Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI