fbpx
LIYANA JASMIN menunjukkan ubat demam sebagai alternatif kepada pelanggan yang dijual di farmasinya di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Stok ubat demam, selesema makin kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gejala demam, batuk, selesema dan sakit kepala yang melanda penduduk terutama kanak-kanak menyebabkan bekalan ubat sukar didapati di kedai dan farmasi di seluruh negara.

Selain premis tersebut, terdapat juga klinik yang kehabisan bekalan ubat-ubatan sejak hampir sebulan lalu.

Antara ubat-ubatan yang kehabisan stok ialah ubat demam kanak-kanak, ubat batuk dan se­lesema serta antibiotik bagi ra­watan demam dan batuk.

Menurut Timbalan Setiausaha Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Mohd. Erhan Rahimi, masalah bekalan ubat sememangnya membelenggu golongan doktor dalam memberikan rawatan terbaik.

Katanya, pihaknya ada me­nerima aduan daripada pegawai perubatan mengenai masalah itu sehingga ada yang terpaksa menggunakan ubat demam dewasa untuk merawat gejala kanak-kanak.

“Disebabkan kehabisan ubat, ada yang menggunakan kaedah menghancurkan ubat demam dewasa dan dicampur air untuk diberikan kepada kanak-kanak.

“Saya difahamkan, pelbagai faktor menyebabkan masalah ini berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

RAK yang menempatkan parasetamol kosong ketika tinjauan di sebuah kedai di George Town baru-baru ini.

Di Bentong, Dr. Rafidah Rahmat memberitahu, stok antibiotik di kliniknya kehabisan sejak hampir sebulan lalu, manakala ubat batuk dan demam kanak-kanak pula mula menyusut dan tiada stok tambahan.

“Saya pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari bekalan ubat, tetapi kebanyakannya khusus­nya antibiotik tiada (bekalan). Saya cuba untuk mendapatkan bekalan antibiotik dan ubat lain,” katanya ketika ditemui.

Di George Town, penduduk di bandar raya itu mengeluh kerana terpaksa pergi dari satu premis ke premis lain semata-mata untuk membeli paracetamol di­sebabkan ketiadaan ubat itu di kedai serbaneka, farmasi, pasar raya mini dan kedai runcit.

Tinjauan Kosmo! di sebuah premis di daerah Barat Daya mendapati bekalan ubat yang bia­sanya digunakan untuk demam, sakit kepala dan sendi didakwa sudah kehabisan sejak dua ming­gu lalu.

Suri rumah, Aishah Wahab, 34, berkata, dia terpaksa mencari paracetamol di lima buah kedai hingga ke Sungai Dua dari George Town kerana mengalami sakit kepala.

Pembantu kedai dikenali sebagai Letchumi, 25, pula berkata, hampir empat bulan premisnya kehabisan stok paracetamol di­sebabkan permintaan tinggi, namun bekalan mula diperoleh baru-baru ini.

Di Johor Bahru, harga para­cetamol jenama terkenal naik mendadak hampir sekali ganda sehingga RM12 berbanding RM7 sebelum ini.

Pembantu kedai yang enggan dikenali memberitahu, kenaikan itu disebabkan bekalan terhad yang diterima.

Pengusaha kedai di Bakar Batu pula mendakwa, premisnya sudah kehabisan stok paracetamol sejak beberapa bulan lalu.

“Kami sudah membuat tempahan kepada pembekal, namun sampai hari ini masih belum terima bekalan,” ujarnya.

Di Kuala Terengganu, bekalan paracetamol dan antibiotik didapati semakin berkurangan terutama melibatkan beberapa jenama terkenal disebabkan permintaan tinggi.

Pekerja farmasi, Liyana Yasmin Badaruddin, 26, berkata, antibiotik azithromycin dan para­cetamol jenama Panadol antara yang sukar didapati ketika ini.

“Walau bagaimanapun bekalan ubat-ubatan ini tidaklah begitu meruncing seperti beberapa negeri lain. Kami masih mendapatkan bekalan dari jenis dan jenama lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN