fbpx
SHERRY ALHADAD

Sherry Alhadad nak kurus bukan untuk cantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEDAR akan faktor usia yang semakin meningkat menjadi punca utama bagi selebriti terkenal, Sherry Alhadad untuk menurunkan berat badan.

Kata Sherry, usaha untuk mengurangkan berat badan bukanlah disebabkan faktor dia menjadi bahan ejekan sekeliling, jauh sekali kerana terasa hati akibat diperkecilkan.

Namun usaha tersebut dibuat atas alasan kesedaran memandangkan usianya kini sudah pun mencecah 37 tahun.

Jika kerana mahu kelihatan cantik dan meraih pujian semata-mata, Sherry memberitahu sepanjang hidupnya, dia tidak pernah memiliki bentuk badan kurus. Bahkan ketika mencapai populariti, fizikal wanita itu masih tetap sama.

Bagaimanapun, sejak awal tahun lalu, pengacara popular itu mula memancing perhatian peminatnya apabila kelihatan berbeza dengan penampilan yang selama ini dilihat dalam kaca televisyen.

Bentuk badannya semakin langsing dan lehernya pula jinjang. Perubahan bentuk badan yang ditunjukkan Sherry sekarang memang cukup ketara.

MENGAKUI sukar untuk menurunkan berat badan, Sherry perlu mengamalkan disiplin tinggi supaya dapat mencapai sasaran yang diinginkan. Foto – AFIQ RAZALI

Faktor umur

Pemilik nama lengkap Sharifah Mariam Syed Abdullah Al Hadad itu ketika ditemui HibGlam baru-baru ini menafikan dirinya menjalani prosedur pembedahan memotong usus atau bariatrik seperti yang didakwa sesetengah netizen demi kelihatan lebih kurus dan langsing.

“Saya sedar bentuk fizikal saya ‘berbeza’ dengan wanita-wanita lain yang kurus dan langsing. Saya memang tidak pernah kurus sejak kecil lagi.

“Keturunan saya semua saiz besar-besar. Sebab itu saya ‘montel’,” ujarnya.

Sedar akan faktor usia, wanita yang terkenal dengan sifat humor itu mula mengubah gaya hidup lebih sihat dan berazam untuk menurunkan berat badan atas saranan doktor.

“Saya semakin berumur. Doktor pun pesan untuk jaga kesihatan dan turunkan sedikit berat badan sebab saiz badan saya yang besar.

“Jadi saya mula mengamalkan gaya hidup sihat bermula dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Alhamdulillah saya sendiri pun tidak ada apa-apa penyakit setakat ini. Malah dalam ahli keluarga sendiri pun tidak ada sejarah menghidap penyakit-penyakit kronik,” katanya.

Dengan usaha dan dibantu dengan pengambilan makanan tambahan, Sherry kini berjaya menurunkan sebanyak hampir 20 kilogram (kg) dan menjadikan berat badannya kini 96kg, berbanding lebih 100kg sebelum ini.

SHERRY bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit kronik walaupun bertubuh besar.

Disiplin

Sasaran pelakon drama The Maid itu kini dalam usaha untuk mencapai berat badan 80kg, namun mengakui perkara tersebut bukanlah suatu impian yang mudah untuk dicapai.

“Sekarang berat badan saya 96kg. Saya cuba untuk capai angka 80kg. Tetapi mahu ke angka tersebut susah betul.

“Saya kena kuat dan istiqamah untuk kekal berdisiplin. Apa yang pasti, saya tidak pernah melakukan apa-apa prosedur pembedahan seperti potong usus untuk kurus,” katanya.

Sementara itu ketika diajak berbicara soal jodoh, lumrah bagi seorang wanita untuk melalui gerbang bahagia di alam perkahwinan, begitu juga dengan Sherry yang juga mempunyai keinginan serupa.

Bagaimanapun, wanita itu mengakui mengakui hatinya masih lagi ‘lompong’ daripada ditakluki oleh mana-mana lelaki.

PADA usia 37 tahun, Sherry tidak terlalu terdesak untuk menamatkan zaman solo, namun berharap agar dipertemukan seorang jejaka yang boleh menerima dirinya. 

Jodoh

Bukannya tidak kisah, namun Sherry mendakwa terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tiada ruang untuk perkara tersebut datang bertamu dalam hidup.

“Saya memang sibuk dengan kerja sehinggakan tiada masa untuk fikir tentang jodoh.

“Saya pernah bercakap pada seorang teman rapat, jika saya ada seorang teman lelaki, sudah lama saya ditinggalkan kerana terlalu sibuk.

“Orang-orang di sekeliling saya juga hanya orang yang sama iaitu kawan rapat dan keluarga. Jadi untuk bertemu dengan orang luar itu bukan suatu perkara yang mudah,” katanya.

Sewaktu disoal tentang jodoh yang diharapkan, Sherry mahu seseorang itu boleh menerima dirinya bukan kerana status ‘Sherry Alhadad’ yang popular di pentas, sebaliknya menerima dirinya sebagai insan biasa yang lain.

“Saya seorang yang ringkas. Jika tidak bekerja, saya lebih selesa pakai baju biasa sahaja dan tidak bersolek.

“Jadi saya mahu seseorang yang boleh menerima diri saya sebegitu. Bukannya disebabkan populariti yang saya ada,” kata Sherry menutup perbualan seraya tersenyum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN