fbpx
Fadilah (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika kunjungan Wan Munadi (tiga dari kanan) di kediamannya di Kampung Paya Luboh, Melaka, hari ini.

Sebak kali pertama diziarahi persatuan selepas kematian ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – “Saya terharu ada yang masih ingat kami dan datang menghulurkan sumbangan untuk arwah ibu,” kata Fadilah Abu, 35.

Anak ketiga Roziah Md. Dom, 63, mangsa tragedi tikam di Kampung Paya Luboh itu berkata, dia tidak menyangka akan menerima sumbangan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) meskipun ibunya telahpun bersara sebagai guru.

Ujarnya, persatuan itu merupakan pertubuhan pertama yang menziarahi keluarganya bagi menghulurkan sumbangan selain keprihatinan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan wakil rakyat.

“Saya terharu apabila diberikan sumbangan kerana saya dan empat beradik sememangnya sedang berusaha menguruskan kewangan keluarga memandangkan kami juga tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Dua adik saya juga masih belajar termasuk adik keempat yang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat di kediamannya di Kampung Paya Luboh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Fadilah memberitahu, dia juga terkejut apabila sumbangan diberikan bukan sahaja atas penama ibunya tetapi ayahnya, Abu Selihan.

Sementara itu, Wan Munadi berkata, pihaknya menyampaikan tiga sumbangan yang layak diterima oleh waris keluarga tersebut.

“Hari ini kita menyampaikan dua sumbangan khairat kematian iaitu atas nama Allahyarhamah Roziah dan Allahyarham suaminya, Abu, yang meninggal dunia sebulan sebelum tragedi berkenaan.

“Kita juga menyampaikan sumbangan khas berbentuk sekali bayar, sedikit sebanyak kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban ditanggung waris,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini persatuan itu mempunyai lebih 100,000 ahli terdiri dalam kalangan guru dan menyarankan agar semua yang berdaftar atau waris sentiasa mengemas kini maklumat untuk memudahkan YGMB menyalurkan bantuan bagi yang layak. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR