fbpx
PELBAGAI ilmu tentang kopi dikongsikan pengusaha kopi dan didedahkan kepada pengunjung.

Aroma memukau pesta kopi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pesta anjuran TF Studio itu berlangsung meriah seiring dengan trend kopi masa kini dengan menghimpunkan para pengeluar, penjual dan penggemar minuman berasaskan kopi tempatan serta luar negara di bawah satu bumbung.

Ia yang diadakan di pusat beli-belah, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini membolehkan orang ramai berpeluang menimba ilmu baharu berkaitan teknik penghasilan minuman kopi yang betul sekali gus membuatkan rasanya lebih enak.

Barista-barista di pesta tersebut tidak lokek berkongsi ilmu serta melayan setiap pertanyaan daripada para pengunjung mengenai cara penyediaan kopi.
—————————————————————————————————————————————————————————————-

AROMA pelbagai jenis biji kopi yang sedang dipanggang menambat hati remaja berusia 18 tahun itu sewaktu berkunjung ke pusat beli-belah, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Haruman tersebut membuatkan Haziq Ali Hisham yang sedang bersiar-siar bersama dua orang rakannya berasa terpanggil untuk menjejaki lokasi datangnya aroma memikat tersebut.

Selepas turun ke aras bawah, dia terkejut melihat deretan gerai berkemah yang menjual pelbagai produk berasaskan kopi memenuhi ruang legar sepanjang kira-kira 100 meter.

Haziq Ali terus melangkah dari gerai ke gerai berkhemah putih itu bagi melihat dengan lebih dekat pelbagai produk serta minuman berasas kopi yang ditawarkan.

Selama sejam berada di situ, pemuda berasal dari Hartamas tersebut bukan saja berpeluang menikmati minuman, malah membeli biji kopi serta peralatan menghasilkannya.

Itulah sebahagian daripada pengalaman menarik dilalui oleh Haziq Ali sewaktu berkunjung ke Pesta Kopi Extended yang berlangsung baru-baru ini di pusat beli-belah tersebut.

PESTA Kopi Extended berlangsung di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pesta anjuran TF Studio itu berjaya menghimpunkan para pengeluar, penjual dan penggemar minuman berasaskan kopi tempatan serta luar negara di bawah satu bumbung.

“Pusat beli-belah ini menjadi wangi dengan haruman biji kopi. Ia membuatkan saya tertarik untuk datang ke sini. Saya tidak tahu ketika ini sedang berlangsung Pesta Kopi Extended.

“Sebagai penggemar kopi, sudah pasti peluang seperti ini tidak boleh dilepaskan apatah lagi untuk menikmati kopi yang sedap daripada jenama-jenama terkemuka tempatan,” katanya kepada K2.

Paling menarik, Haziq Ali dan orang ramai berpeluang menimba ilmu baharu berkaitan teknik penghasilan minuman kopi yang betul sekali gus membuatkan rasanya lebih enak.

Katanya, barista-barista di pesta tersebut tidak lokek berkongsi ilmu serta melayan setiap pertanyaan daripada para pengunjung mengenai cara penyediaan kopi.

“Saya ada mesin membuat kopi di rumah. Namun, saya tidak pandai menggunakannya. Di sini, saya sempat bertanya mengenai kaedah betul menggunakan mesin kopi serta bahan campuran lain,” katanya.

Kopi ialah satu minuman yang dihasilkan daripada biji kopi yang dipanggang lalu menghasilkan suatu air berperisa pahit manis.

Ia mempunyai kesan perangsang kepada manusia yang meminumnya disebabkan kandungan kafein.

Menurut sejarah, minuman tersebut mula ditemui pada abad kesembilan di tanah tinggi Habsyah (Ethiopia). Dari situ, minuman itu meluas ke Mesir dan Yemen sehingga dimasyhurkan dalam kalangan ahli sufi.

PARA pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis kopi.

Kini, kopi merupakan minuman paling banyak diminum di seluruh dunia dengan 166 juta uncang telah digunakan sepanjang tahun 2021 dan angka tersebut akan terus meningkat berdasarkan trend semasa.

Pengurus Projek Pesta Kopi Extended, Mohd. Nasir Abdul Rashid, berkata, ia merupakan penganjuran kali ketiga selepas kejayaan di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada tahun 2019 dan di Melaka pada awal tahun ini.

Ujarnya, tujuan utama pesta tersebut adalah untuk memperkenalkan coffee culture (budaya kopi) kepada orang ramai dan bukan sekadar pesta jualan produk minuman kopi.

“Acara kali ini mempunyai kelainan daripada penganjuran sebelumnya. Pesta kopi kali ini ada perkataan extended yang bermaksud waktunya lebih lama iaitu tiga hari.

“Untuk pesta sebelum ini, kami buat dua hari saja. Ia disebabkan sambutan hebat yang diberikan sebelum ini. Kami jangkakan seramai 50,000 orang mengunjungi pesta kopi kali ini.

“Kebanyakan pengunjung di sini lebih kepada keluarga, ada yang bawa anak-anak kecil bersama. Ini jelas membuktikan kopi semakin diterima baik oleh semua lapisan masyarakat,” terangnya.

Pesta Kopi Extended mendapat kerjasama The Curve sebagai rakan strategik lokasi dan Mister Coffee selaku rakan strategik utama serta tajaan daripada DaVinci Gourmet, MN Coffee serta Rimba In Town.

Menurut Mohd. Nasir, pesta kopi tersebut berjaya menghimpunkan 40 usahawan dari seluruh negara untuk memperkenalkan produk masing-masing serta menunjukkan pelbagai cara dan seni penyediaan kopi.

AROMA dan rasa kopi yang pahit menambat hati ramai.

Jelasnya, kebanyakan peserta pesta tersebut terdiri daripada usahawan yang menjalankan perniagaan kopi secara dalam talian, mempunyai gerai atau kafeteria.

“Antara jenama popular yang menyertai pesta kopi kali ini ialah Dua Darjat, Laiyan KL, Kugiran Kopi, Khemah Kopi, Kopi0Suam.co, Kopikombi, Projek Kopi, Mek’s Kopi dan Kinabalu Peak.

“Jenama-jenama ini jual pelbagai jenis minuman berasaskan kopi sama ada tempatan atau luar negara seperti kopi dari Vietnam atau Indonesia.

“Barista-barista ini buat kopi guna pelbagai teknik daripada moden hingga tradisional.

“Pengunjung bukan sahaja boleh beli dan minum kopi, malah mereka boleh dapatkan hidangan sampingan lain seperti pastri, roti, kek serta manisan lain,” jelasnya.

Orang ramai yang berkunjung juga diajar untuk mengenali jenis, perbezaan sifat biji kopi dan cara-cara penyediaan kopi yang sesuai mengikut biji kopi tersebut.

Antara aktiviti menarik perhatian yang diadakan adalah demonstrasi menghasilkan seni latte, kaedah penyediaan kopi serta demonstrasi menggunakan alatan dan memanggang biji kopi.

Sementara itu, Mohd. Nasir berkongsi, penganjuran kali ini lebih menarik kerana pihaknya turut menganjurkan pertandingan The Fastest Barista Challenge.

Jelasnya, pertandingan tersebut memberi peluang kepada barista berbakat di seluruh negara untuk mempamerkan kemahiran mereka menghasilkan kopi terpantas mengikut jumlah ditetapkan.

“Pertandingan ini tidak ada pada penganjuran pesta kopi yang lalu dan sebab itulah ia mendapat sambutan hangat.

PELBAGAI peralatan digunakan untuk membuat kopi turut didedahkan kepada umum.

“Minuman kopi yang dihasilkan peserta pula diberikan kepada pengunjung secara percuma,” ujarnya lagi.

Mengimbau kembali idea penganjuran pesta kopi, Mohd. Nasir memaklumkan, segalanya bermula apabila melihat trend masa kini masyarakat tempatan terutamanya anak muda terhadap minuman berasaskan kopi.

Jelasnya, ia disemarakkan lagi dengan peningkatan jumlah usahawan tempatan yang mengusahakan perniagaan berasaskan kopi daripada menjual biji kopi, mesin sehinggalah minuman.

“Sebelum ini, kami pernah menganjurkan beberapa pesta seperti fesyen jalanan, tetapi sambutan kurang memuaskan kerana terhad kepada golongan tertentu.

“Apabila kami anjurkan pesta kopi, jumlah kehadiran tidak pernah mengecewakan. Ia mungkin disebabkan semua orang minum kopi tidak kira tua atau muda dan miskin atau kaya,” jelasnya.

Mohd. Nasir menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk membawa kemeriahan pesta kopi tersebut ke Pulau Pinang dan Johor pada akhir tahun ini serta awal tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN