Oleh NOR AMIRAH MAHMUDDIN
BARU-BARU ini, saya dan tiga rakan memulakan perjalanan ke Itali pada bulan Mei lalu melalui Valais, Switzerland yang memakan masa selama lebih kurang tujuh jam menaiki kereta sewa.
Disebabkan Switzerland dan Itali mengambil bahagian dalam Perjanjian Schengen bersama 24 negara lain, tiada kawalan pasport di sempadan negara tersebut.
Kesemua negara yang terlibat mempunyai polisi visa, imigresen yang sama dan berkongsi keselamatan dalam perjalanan penumpang.
Perjalanan ke Itali agak mencabar disebabkan hujan lebat dan kami perlu melalui ratusan terowong di sepanjang laluan. Kami juga sangat berhati-hati disebabkan jalan agak sibuk dan penuh dengan kenderaan berat.
Namun, semua ini mula rasa berbaloi apabila kami ‘dijamukan’ dengan panorama matahari terbenam setiba di destinasi pertama iaitu Cinque Terre.
Cinque Terre, yang bermaksud Lima Tanah, terdiri daripada lima kampung iaitu Riomaggiore, Manarola, Corniglia, Vernazza dan Monterosso yang terletak di wilayah Itali di Liguria.
Tarikan utama di Cinque Terre adalah bangunan rumah berwarna-warni yang terletak di tebing menghadap laut.
Menurut penduduk setempat, nelayan mengecat rumah dengan warna berbeza supaya mereka dapat melihat rumah dari jauh semasa pulang dari laut. Hampir sedekad juga, perkampungan tersebut tidak membenarkan kenderaan memasuki kawasan berkenaan.
Untuk itu, kami perlu meletakkan kereta sedikit jauh dan tidak membawa bagasi, sebaliknya hanya membawa beg kecil pakaian dan makanan ketika bermalam di situ.
Mencari lokasi tempat penginapan di situ juga agak mencabar kerana kami perlu mendaki bukit serta ratusan tangga dan hanya berpandukan nombor rumah yang tertera di setiap pintu.
Disebabkan tiba agak lewat di Cinque Terre, kami membuat keputusan untuk meneroka kawasan itu keesokan harinya.

Ternyata, keindahan Cinque Terre tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Berlatar belakangkan laut Ligurian yang biru jernih, bangunan rumah yang berwarna-warni seperti pelangi dan rakyat tempatan yang mesra, tidak hairanlah ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.
Setelah hampir tengah hari, kami meneruskan perjalanan ke mercu tanda Itali. Perjalanan memakan masa selama dua jam itu cukup mengujakan kerana sejak kecil sering melihat mercu tersebut melalui gambar.
Kami tiba di sana pada waktu tengah hari. Walaupun cuaca amat panas, ia tidak mematikan keterujaan kami apabila melihat sendiri Menara Pisa. Ia seperti merealisasikan impian saya sejak kecil.
Suasana di situ amat meriah dengan orang-ramai memenuhi perkarangan menara condong itu bagi merakam gambar dengan pelbagai gaya.
Setelah puas bergambar bersama Menara Pisa, kami menjamu selera di sebuah kedai Muslim milik warga Bangladesh sebelum meneruskan perjalanan ke Siena, Tuscany.
Kami menginap di rumah ladang di Tuscany selama dua hari bagi meneroka keindahan kawasan tersebut. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan panorama hijau yang cukup menyenangkan mata.
Tujuan utama kami di situ ialah mengunjungi Wilayah Crete Senesi di selatan Siena iaitu bahagian Tuscany yang sangat indah dengan kampung tradisional dan kawasan desa mempersonakan.
Selain itu, ia terkenal dengan jalan yang dipenuhi dengan pokok-pokok cypress dengan ciri bentuk ‘S’. Ia antara lokasi fotografi yang sering dilihat di poskad.

Selama dua hari di Tuscany, kami sempat berkunjung ke Pienza dan Montepulciano. Ia kaya dengan bangunan sejarah dan kebudayaan.
Tidak sah ke Itali sekiranya tidak ke syurga membeli-belah di Milan. Itulah destinasi kami pada hari keempat. Ternyata kota metropolitan itu menepati cita rasa bagi mereka yang menyukai barangan jenama mewah.
Saya juga sempat membeli sebuah beg tangan sebagai tanda kenangan. Namun, kejadian tidak diingini hampir berlaku kepada saya apabila pasport saya hampir dicuri penyeluk saku. Oleh itu, mereka yang ingin melawati Milan perlulah sentiasa berhati-hati dengan penyeluk saku.
Keesokan harinya kami menuju ke destinasi terakhir iaitu Como. Ia merupakan sebuah bandar di wilayah utara Itali yang juga bersempadan dengan Switzerland. Como sangat terkenal dengan Tasik Como, taman, infrastruktur gereja dan villa mewah.
Secara keseluruhannya, percutian ke Itali selama lima hari amat berbaloi dan menyeronokkan. Ia pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan sentiasa menjadi kenangan manis buat kami.
















