fbpx

Wad kanak-kanak semakin sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tian Soon (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pengunjung yang berurusan ketika mengadakan lawatan kerja di HSA, Johor Bahru hari ini. /FOTO RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Wad kanak-kanak di hospital awam di Johor mengalami kesesakan susulan peningkatan kes influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, kesesakan itu juga dipengaruhi peningkatan lima peratus kadar kes ILI dan URTI dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan rawatan susulan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar penggunaan katil di semua wad hospital awam di negeri ini masih terkawal walaupun kadar penggunaan meningkat kepada 76 peratus ketika ini.

“Kadar penggunaan katil itu mencatatkan peningkatan empat peratus berbanding 72 peratus di semua wad hospital awam negeri ini pada minggu sebelumnya.

“Ketika ini wad kanak-kanak di semua 13 hospital awam di Johor mencatatkan sedikit kesesakan berikutan peningkatan lima peratus kes jangkitan ILI dan URTI di negeri ini.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang mengumpulkan data terbaharu situasi terkini di wad kanak-kanak negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Tian Soon berkata, kapasiti katil di semua hospital di negeri ini termasuk wad unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 5,307 katil.

Tambahnya, JKNJ akan mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kadar penggunaan katil di hospital awam negeri ini bagi membolehkan persediaan dilakukan jika gelombang baharu Covid-19 berlaku.

“Peningkatan penggunaan katil di negeri ini turut disumbangkan peningkatan kes Covid-19 selain pertambahan kes jangkitan ILI dan URTI.

“Kita sudah mempunyai pengalaman menangani peningkatan kadar penggunaan katil ketika pandemik memuncak tahun lalu dan akan mengambil tindakan proaktif sekiranya keadaan mendesak,” katanya.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini antara 10 Julai sehingga Sabtu lalu adalah sebanyak 542 kes.

Katanya, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 5.7 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu sebanyak 511 kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI