fbpx

Berniaga minyak masak peket cap ‘Dosa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

AKHBAR Kosmo! khususnya sejak awal tahun ini kerap melaporkan kesusahan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang kini lebih dikenali sebagai B40 untuk membeli minyak masak peket.

Ketika itu tiada pihak yang memberi penjelasan mengenai apa masalah sebenar ketiadaan minyak masak peket di pasaran. Maka berlaku tuding menuding jari antara satu sama lain. Pengilang tuduh pemborong, pemborong kata peruncit, peruncit dakwa pemborong pula yang jadi punca. Akhirnya pengguna merana tanpa kesudahan.

Cerita masalah minyak masak sawit bersubsidi ini bukan isu baharu. Sudah bertahun-tahun selepas kerajaan memperkenalkan minyak peket bermula 2007 lagi. Maknanya sudah 15 tahun sistem ini berjalan.

Jika 15 tahun, adalah memalukan apabila kerajaan melalui agensi tertentu masih gagal menangani ketirisan, kelemahan dan apa sahaja masalah yang menyebabkan minyak masak bersubsidi ‘hilang’ dan tidak sampai ke pasaran dan kuali pengguna.

Lebih memalukan apabila Malaysia sebagai negara pengeluar minyak sawit yang kedua terbesar dunia serta mengeksport 17.2 juta tan komoditi itu pada tahun lalu serta dijangka meningkat kepada 22 juta tan pada tahun ini gagal menjamin bekalan kepada golongan kurang berkemampuan di tanah air sendiri.

Ada yang memberitahu penulis, mereka terpaksa ‘menjelajah’ dari satu kedai ke satu kedai sejauh beberapa kilometer semata-mata untuk membeli minyak peket ini.

Ada pula yang terpaksa beratur di hadapan kedai runcit sebelum kedai dibuka untuk memastikan dapat menjadi pelanggan terawal sebelum kehabisan stok. Itu belum lagi yang ditindas peniaga dengan mengenakan syarat pembelian RM10, RM20 sebelum layak membeli minyak berkenaan.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini pula memperlihatkan betapa ada ‘sesuatu’ atau ada ‘tangan-tangan hantu’ yang menghilangkan minyak masak bersubsidi di pasaran.Kita musykil ke mana lesapnya 60,000 tan metrik yang dikeluarkan setiap bulan. Pengeluaran itu melebihi keperluan golongan berkenaan pada kadar 55,000 tan metrik.

Masalahnya, bukan sahaja tidak ada lebihan tetapi sering kali tiada bekalan di kedai. Lain pula yang berlaku di Thailand apabila minyak peket bersubsidi Malaysia berlambak di kedai-kedai.

Masalah ini nampak remeh tetapi yang hilang sebenarnya bukan sekadar minyak peket tetapi duit subsidi yang disediakan kerajaan (duit rakyat daripada cukai yang dibayar).

Pada 2020 sebanyak RM500 juta disediakan bagi subsidi minyak masak dan meningkat kepada RM2.2 bilion tahun lalu serta dijangka RM4 bilion tahun ini.

Tidak sekadar itu, ‘tangan-tangan’ perompak duit rakyat ini telah menindas golongan kurang berkemampuan untuk menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Malangnya ramai dalam kalangan kita hanya mampu melihat betapa berdosanya jenayah kekerasan seperti merompak bank dan menyamun berbanding jenayah berurus niaga secara haram minyak peket bersubsidi.

Mungkin tiba masanya ditukar semua jenama minyak peket bersubsidi ini kepada cap ‘Dosa’ atau cap ‘Neraka’. Ada berani? -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI