fbpx

Haiti hampiri anarki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis Haiti mengawal lalu lintas semasa mereka membuat rondaan di Port-au-Prince kelmarin. - AFP

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New york – Majlis Keselamatan PBB semalam bersetuju meminta negara-negara anggotanya melarang penghantaran senjata kecil ke Hati tetapi menolak sekatan penuh yang diminta oleh China.

Pertumpahan darah di Haiti melonjak di samping kekurangan bahan api dan kenaikan harga makanan. Sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh di rantau ibu kotanya, Port-au-Prince pada minggu ini sahaja. Agensi-agensi bantuan berkata, banyak kawasan adalah terlalu bahaya untuk dimasuki.

Resolusi Majlis Keselamatan yang diketengahkan oleh Amerika Syarikat dan Mexico itu dipersetujui sebulat suara. Ia meminta negara-negara anggota PBB melarang penghantaran senjata kecil, senjata ringan dan peluru kepada entiti bukan kerajaan di Haiti. 

Resolusi sama juga memberi membenarkan PBB melaksanakan sekatan terhadap ketua-ketua geng penjenayah Haiti dalam masa 90 hari selepas ia diluluskan. 

Duta China ke PBB, Zhang Jun menyifatkan resolusi itu sebagai ‘amaran’ kepada kumpulan-kumpulan penjenayah di Haiti dan langkah yang betul.

Resolusi itu tidak menyebut satu lagi permintaan China supaya PBB meneliti kemungkinan menghantar pasukan polis serantau bagi menyokong pasukan keselamatan Haiti.

Sebaliknya, resolusi sama meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyertai negara-negara serantau untuk meneliti pilihan bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di Haiti dengan laporan mengenainya diserahkan pada 15 Oktober ini.

Ia turut melanjutkan mandat misi politik khas PBB di Haiti, Binuh sehingga 2023.

Resolusi itu diluluskan selepas Haiti mengumumkan malam Khamis lepas mengenai rampasan sejumlah senjata api dalam kontena kargo termasuk 18 senjata api gred tentera, sejumlah pistol, 14,646 butir peluru dan wang palsu berjumlah A$50,000.

Dalam pada itu, kemiskinan tegar dan keganasan meluas menyebabkan ramai rakyat Haiti melarikan diri ke Republik Dominica atau Amerika Syarikat.

Beberapa penduduk tempatan yang bercakap kepada agensi berita AFP kelmarin menyatakan rasa sangsi sama ada PBB dapat melakukan sesuatu untuk mengembalikan keamanan di Haiti. 

“Geng penjenayah bertambah setiap hari, keadaan keselamatan semakin pudar manakala penyeludupan senjata berleluasa. Binuh gagal dalam misinya.

“Ia tidak berguna langsung kepada kami. Rakyat Haiti perlu bergantung kepada diri sendiri untuk mengubah masa depan mereka,” kata pelajar undang-undang, Fleurant Duceppe di Port-au-Prince. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI