fbpx

‘Bayaran makin mahal? Saya tetap Shiha Zikir yang dahulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHIHA ZIKIR

KUALA LUMPUR – Selebriti versatil Shiha Zikir mengakui ada pihak yang mula takut dan berkira-kira untuk menghulurkan tawaran pekerjaan kepadanya selepas dikatakan mula meletakkan bayaran tinggi, jauh berbeza seperti sebelumnya.

Shiha bagaimanapun bertegas, khabar angin yang semakin menular dalam kalangan orang industri tersebut langsung tidak berasas.

“Saya tetap merasakan sama saja seperti dahulu, saya masih Shiha Zikir yang dulu.

“Cumanya mungkin dari segi tawaran itu memang ada, alhamdulillah tawaran yang saya terima semakin banyak masuk, tetapi pihak mereka adakalanya risau tentang bayaran saya.

“Mungkin mereka berfikiran bila saya sudah memegang satu ‘tittle’ atau menang anugerah, maka bayaran saya semakin mahal dan perlulah setimpal.

“Tidak dinafikan saya memang ada juga mendengar orang berkata-kata tentang bayaran saya, tapi rata-rata mereka yang memanggil saya sudah meletakkan satu bayaran yang sesuai dengan situasi sekarang tanpa saya sendiri perlu beritahu,” katanya.

Shiha ditemui pada majlis memperkenalkan barisan juri dan peserta program Muzikal Lawak Superstar musim ketiga (MLS3) di ibu negara baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd. Zikir, 35, turut mengulas tentang isu eksklusiviti yang perlu dijaga andainya populariti seseorang selebriti semakin meroket.

Sebagai selebriti, Shiha tidak menafikan perlu menjaga nilai eksklusif dan tidak sesekali mengambil tawaran tanpa mengambil kira kemampuan diri.

“Berkenaan menjaga nilai eksklusif, saya tidak nafikan perkara tersebut memang perlu ada.

“Pada pandangan saya, lain orang lain caranya. Bagi saya, kami tahu apa yang kami buat. Setiap apa yang saya buat dan sertai semua bersebab, saya tahu atas dasar apa saya berbuat demikian.

“Kalau dahulu memang betul, saya sangat menjaga eksklusiviti itu disebabkan mentor, Allahyarham Datuk Sharifah Aini melarang saya melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

“Sekarang saya tidak kisah dan risau tentang istilah eksklusif itu. Saya dah buat yang terbaik untuk diri saya termasuklah sertai Muzikal Lawak Superstar, satu benda lain daripada yang lain,” ujarnya.

Terdahulu, selepas 12 tahun berkelana dalam industri seni, nama pelantun lagu AEWO itu melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang utama kategori Top Top MeleTOP Wanita pada Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung 29 Mei lalu.

Dia sebelum itu turut menyapu bersih empat trofi menerusi kategori Grup/Dua MeleTOP, Lagu MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP (Hantu Bonceng) dan Artis Versatil MeleTOP. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI