fbpx

Harga minyak masak botol dijangka turun 5 hingga 10 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar (kanan) semasa mengadakan tinjauan harga makanan di Pasar Ketereh, Ketereh dekat Kota Bharu hari ini. - FOTO: ROSMIZAN RESDI

KOTA BHARU – Harga runcit minyak masak botol dijangka turun dalam tempoh dua minggu lagi selepas penetapan harga yang lebih rendah itu dicapai menerusi mesyuarat siri kedua Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Selasa lalu.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihak pengilang secara dasar membayangkan harga minyak masak akan turun secara berperingkat iaitu di antara lima hingga sepuluh peratus dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, bagaimanapun, beliau mencadangkan tempoh berkenaan perlu dipendekkan selain bersetuju harga minyak masak dipaparkan secara mingguan.

“Pihak pengilang mahu menurunkan harga dalam tempoh dua bulan, namun saya mengesyorkan ia perlu diturunkan segera dan tidak boleh tunggu selama tempoh itu.

“Saya jangkakan harga minyak akan turun dalam tempoh dua minggu selepas mesyuarat dijalankan baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan harga di Pasar Ketereh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, sekiranya harga minyak tidak turun, mereka yang terlibat perlu memberi penjelasan.

“Saya mahu pihak industri ada rasa tanggungjawab dan jangan biarkan kerajaan terkial-kial dengan masalah ini kerana akhirnya syarikat juga yang menentukannya.

“Dalam masa sama saya mengucapkan terima kasih kepada persatuan pengeluar minyak yang bersetuju untuk menyegerakan penurunan harga minyak masak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI