fbpx

Pasukan Khas ditubuh tangani isu Sultan Sulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri semalam telah bersetuju menubuhkan satu Pasukan Khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain dianggotai beliau, Pasukan Khas itu turut disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah selain Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun serta pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara juga sedang menentukan Terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu bagi Pasukan Khas itu.

“BHEUU dan Kementerian Luar Negeri akan bertindak selaku urus setia Pasukan Khas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, pihaknya memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

“Justeru itu, kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu ini demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara,” tegasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan waris Kesultanan Sulu yang sebelum ini menuntut sebanyak AS$14.92 (RM62.59 bilion) dari Malaysia dilaporkan merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg.

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Menurut pasukan peguam, kedua-dua anak syarikat itu dirampas oleh bailif di Luxemborg yang mewakili waris Sulu berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI