fbpx

Harga tepung buat orang kampung pening kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pelanggan membeli tepung gandum berprotein tinggi di sebuah pasar raya di Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Kenaikan harga tepung gandum berprotein tinggi ketika ini memberi kesan kepada pengguna terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di luar bandar dan kampung.

Kebanyakan masyarakat menggunakan tepung tersebut dalam masakan dan kenaikan harga bahan itu sekali gus membebankan mereka dalam menyediakan hidangan makanan setiap hari.

Tinjauan Kosmo! di sebuah pasar raya di sini mendapati, harga tepung gandum berprotein tinggi cap Sauh dijual pada harga RM3.45 sekilogram atau RM34.35 untuk sekotak yang mengandungi 10 peket.

Bagi tepung gandum serbaguna Cap Bunga Ros pula, ia dijual pada RM2.55 bagi 850 gram atau RM30.50 bagi sekotak yang me­ngandungi 12 peket.

Seorang pengguna, Siti Amizah Hussin, 34, berharap pihak kerajaan dapat mengatasi masalah kadar kenaikan harga barangan yang memberi kesan terhadap penduduk miskin bandar dan luar bandar.

Katanya, kerajaan perlu me­ngawal kenaikan harga barang asas agar pengguna yang berpendapatan rendah masih dapat membeli berdasarkan kemam­puan dan keperluan mereka.

“Kenaikan harga barangan keperluan seperti gula, tepung gandum dan minyak masak membebankan kami penduduk di kawasan luar bandar.

“Harga tepung gandum yang naik mendadak ketika ini juga membuatkan kami terpaksa berkira-kira untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Sebelum ini harga tepung naik hampir sekali ganda sejak Ramadan lalu disebabkan bekalan semakin berkurangan. Kenaikan itu turut meresahkan peniaga yang menjual makanan berasaskan tepung seperti roti canai dan kuih-muih.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Huzaifah Azman, 38, pula berkata, harga bekalan bahan mentah terutama tepung gandum bukan sahaja melonjak, malah ada pembekal mengehadkan pembelian.

“Harga bagi setiap kotak yang di dalamnya ada 10 peket sekilogram tepung gandum sebelum ini dijual RM25 sehingga RM27, namun baru-baru ini sudah melonjak kepada harga RM35.

“Melihat kepada situasi semasa, saya menjangkakan harga tepung akan naik tidak lama lagi,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI