PETALING JAYA – Rakyat diminta membuat simpanan sewajarnya sebagai persediaan untuk membiayai perbelanjaan kesihatan dan keperluan semasa selepas bersara apabila Malaysia dijangka menjadi negara orang tua pada 2030.
Ini bermakna, dalam tempoh lapan tahun akan datang, Malaysia akan didiami oleh warga emas kerana bancian 2020 mendapati sebanyak 15.3 peratus daripada 32.4 juta penduduk Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas.
Pakar Sosiologi, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, orang ramai sudah boleh membuat persediaan awal terutamanya setelah memasuki alam pekerjaan dan jangan berfikir untuk bertindak apabila sudah memasuki fasa 60 tahun.
Katanya, jika lambat membuat persediaan, seseorang itu akan terasa beban apabila menyedari simpanan tidak mencukupi apabila sudah mencapai usia tersebut.
“Banyak perkara perlu difikirkan ketika hari tua seperti kos rawatan, perbelanjaan kesihatan, keperluan dan kelengkapan kehidupan selepas bersara.
“Jika dilihat dari perspektif sosial, jumlah simpanan yang perlu disediakan bergantung kepada perancangan dan gaya hidup warga emas itu sendiri selain melibatkan diri dalam penganjuran bengkel pengurusan kewangan selepas bersara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Mohammad Shatar, terserah kepada individu untuk memilih gaya hidup kerana ada yang mahu menetap dalam banglo selepas bersara dan ada yang hanya ingin pandu Perodua Viva untuk penjimatan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkawan kelmarin mengenai penduduk berumur 65 tahun ke atas telah mencapai tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat hasil daripada banci 2020.
Dalam kenyataan itu, Ketua Perangkawan Negara, Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, rakyat dengan usia itu kini meningkat kepada 2.2 juta (6.8 peratus) berbanding 1.4 juta (5 peratus) pada 2010.
“Penduduk dunia berkembang dengan perlahan daripada 1 bilion pada tahun 1800 kepada 7.8 bilion pada 2020.
“Senario sama berlaku di Malaysia berbanding 3.6 peratus pada 1970. Ia terjadi disebabkan kesuburan, jangka hayat, struktur umur dan migrasi,” katanya.
Menurut Mohd. Uzir, penduduk berumur 65 tahun dan lebih pada masa kini tertumpu di Perak, Kedah, Perlis dan Sarawak yang telah mencapai status negeri menua apabila lebih tujuh peratus penduduknya berada dalam golongan usia tersebut.
Sehubungan itu tambahnya, ia memerlukan dasar dan perancangan komprehensif bagi menyediakan kemudahan kepada warga emas seperti rumah jagaan, kemudahan kesihatan dan simpanan.
“Warga emas mempunyai hak untuk menikmati kehidupan selesa di samping sokongan penjagaan kesihatan yang cukup kerana tahap kecergasan mereka sudah tidak sama seperti orang muda.
“Ketika ini kanak-kanak berusia 15 tahun mewakili satu daripada empat orang dan ia semakin menurun pada 2030. Ia akan menjejaskan bilangan dan tanggungan untuk umur bekerja pada masa hadapan,” ujarnya.














