fbpx

Ameba ‘pemakan’ otak dikesan di Iowa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar menunjukkan Taman Negeri Lake of Three Fires di daerah Taylor County, Iowa. - Jabatan Sumber Asli Iowa

WASHINGTON – Sebuah pantai tepi tasik di Iowa, Amerika Syarikat (AS) ditutup selepas seorang perenang dari negeri lain dijangkiti ameba (organisme satu sel) yang ‘memakan’ otak manusia, lapor saluran berita NBC News kelmarin. 

Pantai Lake of Three Fires di daerah Taylor County itu ditutup sementara untuk aktiviti renang pada Jumaat lalu.

Penutupan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selepas jangkitan otak berpunca daripada ameba Naegleria fowleri dikesan pada seorang pelancong dari negeri Missouri, demikian menurut Jabatan Kesihatan Awam Iowa.

Pesakit itu mengalami radang otak dinamakan meningoence­phalitis amebic primer (PAM) dan sedang dirawat di unit rawatan rapi, kata seorang pegawai kesihatan Missouri Khamis lalu.

“Ia tidak menular tetapi boleh mengancam nyawa,” kata pegawai berkenaan dalam kenyataan di laman Twitter.

Kajian untuk mengesahkan kehadiran ameba Naegleria fowleri di Lake of Three Fires sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Awam Iowa dengan kerjasama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Proses itu akan mengambil masa selama beberapa hari.

“Pakar-pakar kesihatan percaya tasik itu menjadi sumber jangkitan tetapi kami tidak boleh mengehadkan siasatan ke atas sumber itu sahaja.

“Sumber air awam tambahan di Missouri juga sedang diuji,” kata Jabatan Kesihatan Awam Missouri pada Jumaat lalu.

Naegleria fowleri ialah ‘ameba mikroskopik hidup bebas’ yang biasa ditemui di dalam air tawar yang hangat seperti tasik dan sungai atau jarang-jarang di dalam kolam renang yang tidak berklorin atau air paip tercemar, demikian menurut CDC.

Pesakit dijangkiti apabila ameba itu memasuki badan mereka melalui hidung dan bergerak ke otak di mana ia memusnahkan tisu otak, demikian menurut Jabatan Kesihatan Iowa.

PAM biasanya membawa maut dan hanya lima orang di Amerika Utara diketahui selamat. 

Ia tidak boleh disebarkan me­lalui manusia dan tidak menjangkiti dengan meminum air paip terawat, kata CDC. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI