fbpx

110 anak muda jadi Felo Perdana, Korporat 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kiri) beramah mesra bersama beberapa Felo terpilih di Bangunan Perdana Putra semalam.

PUTRAJAYA- Seramai 110 anak muda ditawarkan menjadi peserta Felo Perdana dan Felo Korporat bagi tahun 2022 sekali gus berpeluang mendalami lebih pengetahuan berhubung sistem tadbir urus negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penghargaan tahniah diucapkan kepada peserta terpilih memandangkan hanya 10 peratus sahaja yang dipilih daripada ribuan penyertaan.

“Pendedahan daripada program Felo Perdana itu merupakan yang terbaik sama ada kepada graduan atau lepasan graduan.

“Apabila menjadi Felo kepada seorang menteri, mereka berpeluang melihat dan belajar cara seorang menteri menguruskan kementerian. Pendedahan itu tidak terhad kepada skop kerja seseorang menteri sahaja, tetapi gerak kerja bagi keseluruhan kementerian,” katanya pada majlis Penyerahan Peserta Felo Perdana dan Felo Korporat Tahun 2022 di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Katanya, setiap Felo juga perlu bersikap proaktif dan mengambil inisiatif sendiri jika ingin mempelajari lebih mendalam tentang sesuatu perkara.

“Sebagai contoh, Felo boleh berjumpa dengan Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Timbalan Ketua
Setiausaha Kementerian (TKSU) untuk belajar apa yang ada di kementerian tersebut.

“Begitu juga jika berpeluang untuk ke Parlimen, harus dimanfaatkan untuk melihat debat dilakukan di dalam Parlimen serta proses dalam menyediakan kertas jawapan bagi sidang tersebut,” jelasnya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada 20 buah syarikat korporat yang terlibat dalam menyokong program dan inisiatif kerajaan untuk menyediakan latihan, pengalaman dan peluang kerja kepada graduan.

“Sejak pelaksanaan program Felo Perdana pada 2013 dan Felo Korporat pada 2019, seramai 753 anak muda yang memiliki bakat kepemimpinan tinggi telah menyertainya.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Felo yang terpilih kali ini. Saya difahamkan daripada ribuan memohon, hanya 10 peratus sahaja diterima,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI