fbpx

Novartis sumbang lebih RM1 bilion kepada KDNK negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZOU (dua dari kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed (tengah) pada majlis pelancaran pejabat baharu Novartis di Damansara Uptown baru-baru ini.

PETALING JAYA – Novartis Malaysia sebuah syarikat farmaseutikal telah menyumbang lebih daripada RM1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu dengan hampir satu perempat daripadanya diperolehi daripada aktiviti perniagaan.

Syarikat yang telah melabur lebih daripada RM4 juta dalam penyelidikan dan pembangunan itu juga turut menyumbang lebih daripada RM3 juta untuk melin­dungi pekerja barisan hadapan dan masyarakat berisiko tinggi daripada Covid-19.

Ketua Pasaran Sedang Membangun Novartis, Kevin Zou berkata, melihat kepada komitmen syarikat selama ini, syarikat akan meneruskan keterlibatannya bersama kerajaan dan ­menyokong usaha untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.

Menurutnya, ia akan dilaksa­nakan menerusi penggunaan pintar inovasi digital dan teknologi yang menggunakan Bukti Dunia Sebenar (RWE) sebagai panduan kepada penyele­saian yang boleh menambah baik proses pemulihan pesakit.

“Kami berhasrat menjadi rakan khidmat penjagaan kesihatan pilihan utama pelanggan kami.

“Satu keutamaan Novartis Malaysia adalah memberi tumpuan berterusan meneroka Kerjasama Awam Swasta (PPP) dalam bidang ujian klinikal, perkhidmatan perkongsian global dan usaha mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena pelancaran pejabat baharu serba canggih dengan kelengkapan terkini di Plaza Imazium, Damansara Uptown di sini baru-baru ini.

Pejabat baharu itu mencerminkan cara bekerja atau Ways of Working (WoW) baharu sebagai kerja berasaskan pasukan dan pejabat ini telah direka suai dengan teliti untuk menerapkan faktor serta unsur yang meningkatkan produktiviti.

Syarikat juga mengutamakan penggunaan data dan digital bagi menggalakkan rakan-rakan se­kerja mengguna pakai teknologi digital dan sains data dengan cara baharu untuk menghasilkan keputusan lebih baik buat pesakit.

Selain itu, pejabat tersebut menerapkan unsur-unsur ke­lestarian dengan menggunakan bahan mesra alam dan kitar semula bagi perabot dan monitor komputer.

Hasil usaha yang dilaksanakan, pejabat ini telah diiktiraf sebagai satu daripada 20 pejabat yang menerima pensijilan LEED-Gold dan yang pertama untuk menerima sijil WELL-Silver (pejabat) di negara ini.

Novartis Malaysia yang ditubuhkan pada 1971 telah berkembang pesat daripada sebuah pejabat kecil kini berkembang menjadi peserta utama dalam industri penjagaan kesihatan.

Ia terlibat dalam tiga bahagian utama yang terdiri daripada ubat-ubatan (farmasi dan onkologi), sandoz (bioserupa) dan Pusat Perkhidmatan Global Novartis Kuala Lumpur.

Zou menerangkan, sepanjang tempoh lima dekad Novartis bertapak di Malaysia, daya tarikan Kuala Lumpur sebagai hab serantau dan global terus meningkat, sumber tenaga kerja berbakat, infrastruktur mantap dan pasaran penjagaan kesihatan yang kian berkembang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI