fbpx

UEM Edgenta catat untung bersih RM24.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sektor penjagaan kesihatan dan infrastruktur menjadi pemacu kepada pendapatan Kumpulan UEM Edgenta.

PETALING JAYA – UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) mencatat keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 (TK2022) sebanyak RM24.6 juta dengan pendapatan sebanyak RM1.8 bilion, tumbuh 13.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) dicatatkan sebanyak RM55.3 juta dalam tempoh tersebut dengan kenaikan sebanyak  22.1 peratus lebih tinggi berbanding RM45.3 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, selepas mencatat prestasi kukuh pada separuh pertama tahun 2022, momentum pertumbuhan pada suku ketiga disederhanakan oleh peningkatan tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan.

Menurut beliau, pendapatan Kumpulan pada suku ketiga TK2022 berbanding suku sebelumnya (suku kedua TK2022) meningkat sebanyak tiga peratus atau RM18.5 juta, kepada RM646.2 juta.

Keuntungan bersih menyusut sebanyak 59.3 peratus daripada RM10.8 juta kepada RM4.4 juta, terutamanya disebabkan kerugian peruntukan nilai one-off pada inventori dan peningkatan kos dalam operasi perniagaan.

“Pertumbuhan pendapatan bagi tahun ke tahun didorong oleh hasil pendapatan tinggi yang dijana daripada Perkhidmatan Sokongan Penjagaan Kesihatan melalui pengembangan penyelesaian penjagaan kesihatan bersepadu di Malaysia dan perluasan perkhidmatan kepada sektor hospitaliti dan semikonduktor di Singapura dan Taiwan. 

“Pertumbuhan juga dilihat dalam perniagaan Penyelesaian Infrastruktur disebabkan oleh peningkatan kerja-kerja penyelenggaraan berikutan pemansuhan perintah kawalan pergerakan oleh Kerajaan dan peningkatan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Sehingga 30 September 2022, kunci kira-kira UEM Edgenta kekal kukuh dengan mengekalkan nisbah gearan rendah pada 0.3 kali.

Selain itu, tempahan buku syarikat kekal kukuh pada RM10.1 bilion. 

Dalam tempoh sembilan bulan pertama TK2022, Kumpulan memperoleh kontrak baharu kira-kira RM972 juta dengan 70 peratus daripada kontrak baharu tersebut adalah hasil daripada pasaran antarabangsa, selaras dengan strategi pengembangan antarabangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI