fbpx
Lokasi kejadian kepala air yang mengorbankan tiga nyawa di Kampung Iboi, Baling pada minggu lalu.

Banjir Baling: SPRM teliti kemungkinan berlaku salah laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti kemungkinan berlaku salah laku yang membawa kepada berlakunya tragedi kepala air dan banjir di Kupang, Baling dekat sini pada minggu lalu.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, antara perkara yang akan diteliti termasuk minit mesyuarat Exco kerajaan negeri terdahulu berkaitan projek Ladang Durian Musang King di Gunung Inas.

Selain itu katanya, pihak SPRM akan turut kembali meneliti laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan terhadap kelulusan diberikan Jabatan Alam Sekitar.

“Projek ini sudah agak lama jadi banyak dokumen yang perlu diteliti semula termasuk minit-minit Mesyuarat Exco dahulu. Ada banyak peringkat dan perkara yang perlu dilihat semula.

“Tidak terkecuali, kita turut perlu meneliti laporan EIA. Semua ini ambil masa untuk disiasat,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga berkemungkinan akan memanggil syarikat yang mengusahakan ladang durian di gunung berkenaan sekiranya terdapat tanda-tanda pelanggaran syarat.

“Bagaimanapun kini segalanya masih di peringkat awal. Sebaik kejadian itu berlaku, pegawai SPRM turut berada di Kampung Iboi bagi mendapatkan gambaran awal mengenai apa yang berlaku.

“Kita akan menilai segala aspek dan jika ada kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM, kita akan ambil tindakan dan jika tidak, kita serahkan kepada agensi lain yang berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR