fbpx
ROSMAN melihat bahagian dalam kereta Perodua Bezza milik arwah Hajar Nursyahirin ketika ditemui di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru baru-baru ini.

Kisah pilu di Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – “Apa pun yang terjadi, saya tidak akan jual kereta Perodua Bezza putih milik arwah kerana ia adalah kenangan yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

“Bila rindu itu terlalu kuat, saya akan duduk di dalam kereta bersendirian untuk mengimbau kenangan dan tidur di situ.”

Demikian luahan Rosman Ahmad, 58, ketika ditanya me­ngenai anaknya, Allahyarham Hajar Nursyahirin, 26, dan cucu, Hans Mohd. Thakif, dua bulan yang dibunuh di Kampung Bakar Batu di sini pada 4 Julai lalu.

Katanya, kejadian itu menyebabkan Aidiladha disambut ala kadar. Namun, seekor lembu turut dikorbankan untuk diniatkan buat keluarga khususnya arwah anak dan cucunya.

Bercerita lanjut, Rosman berkata, dia sengaja meletakkan kereta itu di hadapan kedai makannya di Permas Jaya di sini untuk mengubat kerinduan terhadap mereka.

Katanya, ia seolah meniru perbuatan arwah yang merupakan tukang masak suka meletakkan kereta itu di kawasan tersebut sejak lima tahun lalu.

“Bila saya lihat kereta itu, saya terasa seperti arwah masih ada di kedai ini membantu saya dan keluarga untuk berniaga,” kata­nya kepada Kosmo!.

Menurut Rosman, jika rindu semakin menebal, dia akan duduk di dalam kereta bersendirian dan mengenang kenangan manis mereka.

“Beberapa hari selepas kejadian, saya letak kereta depan kedai. Pada waktu malam, saya tidur di tempat duduk pemandu sebab rindu.

“Selepas melahirkan anak, dia akan bawa cucu saya di tempat duduk penumpang hadapan. Saya masih ingat, dia mengadu anaknya kurang senyum, namun apabila dibawa ke kedai, Hans tersenyum dan ketawa,” katanya.

Menurut Rosman, sejak itu, arwah kerap membawa bayinya ke kedai tersebut.

Tambahnya, dia sangat me­nyayangi kesemua enam orang anaknya, namun ada sesuatu kelainan pada arwah yang membezakan antara mereka.

“Arwah saya gelar sebagai ‘pe­rempuan Melayu terakhir’ kerana dia lebih lemah lembut dan pendiam berbanding adik beradik lain. Jadi bila tragedi itu berlaku, saya sangat terasa kehilangannya,” katanya.

Dalam kejadian itu, Hajar Nursyahirin dan Hans Mohd. Thakif maut selepas dikelar pada pukul 12 tengah hari. Suspek kemudian ditahan di sekitar Permas Jaya.

Jenazah mangsa kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu pada pukul 8.10 malam keesokan harinya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN