fbpx

Kerjasama UM, DBKL kaji virus bawaan gagak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAJIAN virus dan penyakit bawaan gagak yang dijalankan oleh kakitangan TIDREC UM mendapat sokongan daripada staf DBKL di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.

PENULARAN pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 di seluruh dunia termasuk Malaysia telah membuka mata banyak pihak tentang bahayanya penyakit berjangkit bawaan virus.

Sebelum ini, ramai tidak sedar bahawa virus yang ada di sekeliling kita mampu meragut jutaan nyawa dalam tempoh singkat, selain merencatkan aktiviti harian manusia.

Terdorong daripada kesedaran itu, Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya (UM) menganjurkan program Pengesan Patogen Zoonotik Bawaan Gagak (PPZBG).

Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bertujuan mengesan kehadiran patogen zoonotik pada burung gagak yang mendiami sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Pensyarah Kanan TIDREC, Dr. Zubaidah Ya’cob berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan DBKL bagi menjalankan kajian virus dan penyakit bawaan burung gagak di sekitar ibu kota.

“Ini merupakan program kali kedua selepas kejayaan PPZBG bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat pada akhir tahun lalu. Program penyelidikan ini dilakukan menggunakan dana kerajaan bagi menjalankan kajian ini secara berkala.

“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk mengesan kewujudan patogen zoonotik dalam badan haiwan yang mampu menjangkiti manusia,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

KAKITANGAN TIDREC mengambil sampel daripada gagak untuk diuji di makmal.

Menurutnya, semua sedia maklum bahawa gagak merupakan haiwan pemakan bangkai yang menjadi pusat kepada pembiakan pelbagai patogen berbahaya.

Jelasnya, patogen merangkumi virus, bakteria, parasit dan protozoa yang boleh menjangkiti haiwan seperti gagak tanpa menunjukkan sebarang simptom.

“Apabila gagak memakan bangkai mengandungi patogen, ia akan menjadi perumah atau ‘tangki simpanan’ baharu bagi kelestarian untuk patogen terus hidup.

“Jika patogen ini menjangkiti manusia, terutamanya virus respitori termasuk avian flu dan coronavirus, besar kemungkinan ia akan menyebabkan kesakitan teruk dengan simptom boleh dilihat dengan jelas.

Keadaan ini dipanggil penyakit berjangkit zoonotik.

“TIDREC amat memandang serius akan perpindahan patogen haiwan kepada manusia, lebih-lebih lagi di kawasan penduduk padat seperti Kuala Lumpur.

“Justeru, pemantauan patogen secara berkala amat penting,” katanya.

DUA kakitangan DBKL bersedia untuk menembak gagak di sekitar ibu kota.

Program PPZBG bersama DBKL itu melibatkan seramai 30 orang yang merangkumi kakitangan TIDREC termasuk pensyarah, pegawai penyelidik, bekas pelajar dan pelajar latihan industri.

Ia secara tidak langsung dapat melatih kakitangan dan pelajar baharu TIDREC bahawa bidang penyelidikan tidak terhad di dalam makmal sahaja.

Program bermula dengan sesi penerangan oleh pihak DBKL pada pukul 2 petang di Jalan Raja Laut sebelum aktiviti menembak gagak dilakukan menjelang waktu senja.

Ujar Dr. Zubaidah, pihaknya berjaya merekodkan sampel merangkumi organ, darah dan ektoparasit terhadap hampir 100 ekor gagak menerusi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Proses persamplelan ini sangat memenatkan kerana setiap burung perlu dibedah untuk mengambil darah dan organ.

“Jadi, tenaga kerja yang ramai diperlukan bagi melaksanakannya,” terangnya.

Dia menambah, semua sampel daripada gagak tersebut akan dibawa pulang ke makmal TIDREC bagi membolehkan proses pengesahan patogen dilakukan menggunakan peralatan terkini dengan penuh teliti.

Ulasnya, keputusan diperoleh akan direkod dan dikongsikan bersama pihak berkuasa dan penduduk setempat menerusi aktiviti penyebaran ilmu kepada komuniti.

“Kami berharap, aktiviti ini dapat membuka mata serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya memastikan kawasan bandar sentiasa bersih daripada kekotoran.

“Ini kerana, kekotoran boleh mengundang haiwan-haiwan seperti gagak berkumpul dan membiak disebabkan sokongan daripada sumber makanan yang mudah dan banyak,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI