ALOR SETAR – Suspek kes pukul isteri hamil sehingga keguguran dan cedera parah dalam kejadian di Ambangan Heights, Sungai Petani mengaku menanam janin dari kandungan mangsa itu di sebuah tanah perkuburan di sini, awal bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 43 tahun pada 30 April lalu menunjukkan lokasi dia menanam janin tersebut iaitu di kawasan perkuburan Masjid Al-Ghufran, di sini.
Katanya, suspek mendakwa telah menanam janin berkenaan dengan isterinya turut berada di tanah perkuburan tersebut.
“Pasukan forensik seterusnya membuat penggalian sebelum mendapati ia bukan dalam bentuk janin yang sempurna, sebaliknya dalam bentuk tisu kering,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.
Susulan itu, kata beliau, tisu itu kemudian dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengesahkan ia adalah janin atau sel manusia.
“Jika (keputusan) negatif, kita tidak boleh buka kertas siasatan dan kalau disahkan ia adalah janin atau sel manusia, kita akan buka satu lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” ujarnya.
Menurutnya, keputusan laporan kimia itu berkemungkinan mengambil sedikit masa untuk diperoleh.
“Namun begitu, kita tidak gusar kerana lelaki itu telah dihantar ke penjara setelah Mahkamah Rayuan bagi kes mencederakan bekas isteri pada semalam menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun selain dia turut diperintah membayar pampasan RM25,000,” jelasnya.
Adzli berkata, bagi kes terbaharu itu, suspek dijangka dituduh di Mahkamah Sungai Petani pada Khamis ini dan pertuduhan dicadangkan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau objek berbahaya.
“Kita cadang untuk tuduh di bawah Seksyen 326 KK kerana berdasarkan pengakuan, ada penggunaan besi, penyangkut baju dalam kejadian itu,” katanya.
Berhubung keadaan mangsa berusia 39 tahun, beliau berkata wanita terbabit masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
“Saya tengok ada individu di luar sana yang mengatakan akan usahakan Interim Protection Order (IPO) untuk mangsa. IPO ini adalah untuk memastikan keselamatan terjamin atau bagi kanak-kanak bawah umur yang tiada penjaga.
“Tetapi dalam konteks ini, mangsa adalah seorang yang dewasa, berkerjaya, ada keluarga. Namun, jika keselamatan dia terancam, kita akan minta,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar melaporkan mangsa yang merupakan penjawat awam cedera parah termasuk kandungan berusia 12 minggu mengalami keguguran akibat dipukul suaminya di sebuah rumah di Ambangan Heights, Sungai Petani dekat sini pada bulan lalu. – KOSMO! ONLINE






