fbpx

Trafik penumpang udara cecah 8.7 juta Q12022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trafik penumpang udara merekodkan pertumbuhan 415.6 peratus untuk tiga bulan pertama tahun ini. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Trafik penumpang udara mencapai rekod tertinggi sejak pandemik dengan mencatatkan sebanyak 8.7 juta penumpang pada suku tahun pertama (Q1) 2022.

Ini bersamaan dengan pertumbuhan 415.6 peratus tahun ke tahun, menurut Laporan Industri dwitahunan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Waypoint edisi ke-11.

Menurut laporan tersebut, lonjakan pertumbuhan adalah disebabkan kesan asas yang rendah, yang mana trafik penumpang pada suku pertama 2021 hanya 1.7 juta.

“Perkembangan ini menunjukkan industri penerbangan sedang mengalami pemulihan secara beransur-ansur, tetapi stabil.

“Pertumbuhan trafik didorong terutamanya oleh penumpang domestik yang menyumbang sebanyak 88.8 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara pada Q12022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mavcom meramalkan jumlah trafik penumpang udara tahun ini akan meningkat antara 200 peratus hingga 350 peratus tahun ke tahun, bersamaan dengan 32.6 juta hingga 49 juta penumpang.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kassim berkata, berikutan pelonggaran sekatan perjalanan di Malaysia, industri penerbangan semakin pulih daripada kesan pandemik, selaras dengan peningkatan jumlah trafik penumpang pada awal tahun 2022.

“Selepas pembukaan sempadan antarabangsa pada April, pemantauan Suruhanjaya menunjukkan peningkatan tersebut didorong oleh permintaan yang tertangguh terhadap penerbangan dan pelancongan.

“Suruhanjaya memahami orang ramai masih berhati-hati disebabkan konflik global serta ketidaktentuan ekonomi, namun kami tetap positif dan mengunjurkan bahawa sektor penerbangan akan terus pulih pada tahun 2022 dengan pelaksanaan langkah yang sesuai,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI