fbpx

Saya bukan tali barut halang tuntutan MA63 – Bung Moktar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan beliau bukan tali barut yang menidakkan usaha untuk menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bung Moktar berkata, beliau sebaliknya hanya menyarankan bahawa sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak dengan bijak dalam menuntut hak rakyat Sabah yang termaktub dalam MA63 daripada kerajaan Pusat.

“Saya hanya berkata sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak secara bijak dan bukannya menidakkan perjanjian MA63.

“Pemimpin bijak akan mencari jalan penyelesaian tetapi pemimpin yang lemah dan rapuh sebaliknya akan terus memainkan isu ini walaupun tahu isu ini tidak akan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar berkata demikian sebagai maklum balas ke atas tuduhan tidak berasas mengenai cadangan yang diluahkan pemimpin BN termasuk Bung Moktar berhubung usaha merealisasikan sepenuhnya tuntutan MA63 pada Konvensyen BN Sabah, baru-baru ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah sebelum ini menyatakan hanya pemimpin yang bijak mampu mencari jalan bagi mencapai tuntutan MA63 tanpa perlu menunjukkan emosi yang berlebihan.

Mengulas lanjut, Bung Moktar memaklumkan ‘New Deal’ yang dicadangkan dalam isu tuntutan MA63 bermakna semua perkara yang menjadi halangan untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui akan dihapuskan.

Menurutnya, MA63 sudah dimeterai puluhan tahun lalu namun belum ada sebarang penyelesaian walaupun sudah ramai pemimpin tampil memperjuangkan isu berkenaan.

“Hakikatnya walaupun isu ini (MA63) telah dibincang beratus kali namun perjuangan untuk mendapatkan hak Sabah dalam MA63 masih tidak dicapai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI