fbpx

Kilang BAT capai karbon neutral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Pengurus Kilang BAT Malaysia, Mohan Baskaran; Pengarah Rantaian Bekalan, Remeena Prabhakaran; Sazali dan Green pada pelancaran sistem tenaga solar di kilang BAT Malaysia Johor Bahru, baru-baru ini.

PETALING JAYA – British Ame­rican Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) berjaya mencapai status karbon neutral bagi kilangnya di Johor Bahru.

Pensijilan yang diterima Kumpulan itu adalah selari dengan dengan PAS 2060, iaitu spesifikasi diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk neutraliti karbon bagi tempoh 1 Disember 2020 hingga 30 November 2021.

Pencapaian tersebut diumumkan sempena pelancaran sistem solar kilang berkenaan yang telah dirasmikan oleh Pengarah Kastam Negeri Johor, Sazali Mohamad baru-baru ini.

Sistem solar yang dipasang sepenuhnya pada Mei lalu itu mampu menjana kira-kira 103 megawatt-jam tenaga setahun, untuk memenuhi sekitar 60 pe­ratus keperluan tenaga di kilang berkenaan, selain dianggarkan bakal memberikan penjimatan hampir RM1 juta dalam tempoh 20 tahun.

Pengarah Pemasaran Komersial BAT Malaysia, Bryce Green berkata, perniagaan kini mempunyai peluang luas untuk membantu membina masa depan yang lebih mampan dan tindakan iklim boleh menjadi asas kepada era baharu inovasi, penciptaan pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi.

“Kami bangga untuk me­lan­carkan sistem tenaga solar yang merupakan bukti kepada usaha Kumpulan dalam membentuk masa depan lebih baik buat semua pemegang kepentingan.

“Selain itu, sistem ini juga menjadi kunci kepada kejayaan kami dalam mencapai status karbon neutral,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

BAT Malaysia komited untuk menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

Tahun lalu, Kumpulan berjaya mengurangkan pelepasan karbonnya sebanyak 10.5 peratus berbanding 2020 menerusi penstrukturan model perniagaan serta kempen menjimatkan penggunaan tenaga.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI