JOHOR BAHRU – Junior Eldstal kembali menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkuatkan pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Kepulangan semula pemain berusia 30 tahun itu untuk bersama skuad Harimau Selatan diumumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers sebentar tadi.
Kehadiran Eldstal diumumkan menerusi hantaran video pendek berdurasi 41 saat menyaksikan pemain tinggi lampai itu menaiki limousin ke perkarangan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan disambut oleh Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards.
Eldstal dilamar kelab gergasi negara itu pada penghujung musim 2014 setelah mempamerkan aksi cemerlang pada dua musim bersama skuad Sarawak.
Di bawah kendalian ketua jurulatih, Bojan Hodak ketika itu, Eldstal memainkan watak penting pasukan sepanjang tempoh empat musim bersama Harimau Selatan.
Sepanjang tempoh itu, Eldstal berjaya memenangi tiga gelaran juara Liga Super bagi musim 2015 hingga 2017, Piala FA (2016), Piala Malaysia (2017) dan kejayaan paling bermakna ketika menjulang Piala AFC (2015).
Eldstal yang berpisah dengan JDT pada Oktober 2018 kembali menyarung jersi Harimau Selatan bernombor 38 setelah berpindah daripada kelab Thailand, Chonburi FC.
Terdahulu, JDT turut mengumumkan ketibaan pemain baharu, Levy Madinda yang merupakan bekas pemain kelab La Liga, Celta Vigo bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan sekali gus memberi tentangan dan sokongan kepada Leandro Velazquez.
Pemain import kelahiran Gabon itu akan menyarung jersi bernombor 92 menjadi pemain terakhir akan ditandatangani JDT pada musim ini.
Bagaimanapun, pengisytiharan itu menimbulkan tanda tanya dan persoalan dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tanah air apabila kemasukan pemain import itu hanya diumumkan setelah jendela perpindahan sudah lama tamat. – KOSMO! ONLINE














